GUS Miftah Maulana Habiburrahman yang juga bertugas sebagai Penasihat Khas Presiden dalam Bidang Keharmonian Beragama mengundang kecaman rakyat Indonesia dan warga maya.
Masakan tidak, di dalam sebuah majlis ilmu pendakwah selebriti itu dilihat melemparkan kata-kata yang dianggap kasar kepada seorang peniaga jalanan dikenali sebagai Pak Sunhaji yang sedang menjual teh.
Beliau yang dilihat memanggil lelaki itu goblok (bodoh) dan menghamburkan ketawa kepada penjual itu.
Insiden tersebut berlaku di hadapan khalayak yang menghadiri program berkenaan dan menjadi tular apabila rakamannya beredar di laman sosial termasuk X.
SAYA HANYA MENCARI REZEKI
Susulan tularnya video tersebut, pempengaruh Indonesia, Budi Irwanto telah berjumpa Pak Sunhaji dan menyerahkan sejumlah wang derma.
Hasil pertemuan, menurut Budi, Sunhaji sebelum ini bekerja sebagai pemotong kayu sebelum mengalami kecederaan patah tulang ketika bekerja yang memaksanya mencari rezeki dengan menjual teh ais. Difahamkan Sunhaji baru setahun menjalankan perniagaan itu.
Malah ketika dimalukan, beliau baru berjaya menjual beberapa cawan teh sahaja.
Lebih menyedihkan lagi, Sunhaji meluahkan rasa malu dan kecewa namun tidak mengambil pusing dengan kata-kata penceramah popular itu. Niatnya hanya ingin mencari rezeki halal buat isteri dan dua orang anak masih bersekolah.
"Saya itu mencari rezeki buat anak isteri, malah ada suara seperti itu. Ya kalau bagi saya tak apa-apa, tapi lain kali jangan.
"Saya di sana belum dapat rezeki, malah ada suara seperti itu di telinga saya. Saya terima,” katanya dalam nada sedih.
Hal berkenaan menjadi serius selepas mendapat perhatian Setiausaha Kabinet, Mejar Teddy Indra Wijaya yang telah menegur Gus Miftah dan menuntut pendakwah tersebut membuat permohonan maaf secara umum.
GUS MIFTAH MOHON MAAF
Dalam perkembangan terkini, Gus Miftah telah bertemu dengan lelaki yang dimalukannya olehnya itu dan memohon maaf.
Menerusi video tular di laman sosial X, beliau memeluk erat Suhanji dan mengatakan niatnya hanyalah mahu bergurau namun telah disalah erti.
Jelasnya Gus Miftah, beliau dirundung penyesalan dan akan lebih berhati-hati dalam menuturkan kata-kata pada masa akan datang.
Sunhaji memaafkan pendakwah itu dan meluahkan gembira menerima kedatangannya.
Bagaimanapun, permohonan maaf Gus Miftah masih belum diterima warga maya.
Menjengah ke ruangan komen, masih ramai yang menganggap bergurau dengan menggelarkan seseorang dengan kata-kata agak kesat adalah tidak wajar dan menghina.
Malah sebuah klip video dimuat naik mendedahkan bahawa kejadian seumpama itu bukan pertama kali.
Terdahulu, pendakwah berusia 43 tahun itu pernah menggelarkan penjual teh ais sebagai goblok dalam majlis ceramah lain.
DURIAN RUNTUH! PAK SUNHAJI TERIMA TAJAAN UMRAH
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Selepas tular dimalukan dan digelar bodoh, Pak Sunhaji menerima durian runtuh berupa tajaan menunaikan umrah.
Bukan sahaja menerima pembelaan daripada masyarakat, Sunhaji akan menerima pembiayaan sepenuhnya untuk ke Tanah Suci daripada Sekolah Tahfidzul Quran Markaz Hijrah Indonesia. Makassar.
Sunhaji dijadualkan akan menunaikan umrah pada awal Ramadan 2024.