"DOKTOR terangkan sudah tidak boleh dibedah kerana sel-sel sudah aktif dan merebak."
Demikian kongsi isteri pelakon Lan Zailan, iaitu Ruby Sara Omar, 51, mengenai suaminya.
Disahkan kanser pankreas tahap empat baru-baru ini, Ruby Sara atau mesra disapa Ruby sempat berkongsi kronologi diagnosis Lan yang mengejutkan ramai.
Menurut Ruby, Lan atau nama penuhnya Zailan Kamaruddin menerima diagnosis ketika berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Lebih memilukan, jangka hayat pelakon Bini-Biniku Gangster itu dianggarkan hanya tiga bulan.
"Doktor mulanya tidak mahu menceritakan secara direct kerana ingin menunggu anak-anak.
"Tetapi saya cakap kepada doktor tak mengapa, just make it clear untuk lebih menyenangkan.
"Jadi doktor memaklumkan abang disahkan kanser pankreas tahap empat. Doktor juga bertanya sekiranya saya ada apa-apa persoalan.
Sempat berkongsi keadaan Lan yang kuat dan tabah, Ruby mengakui pihak hospital juga terkejut dengan diagnosis berkenaan memandangkan tiada faktor berisiko pada pelakon berusia 66 tahun itu.
"Dia (Zailan) seorang yang aktif dan tidak pernah sakit apa-apa.
"Dia tidak merokok, ketika muda pun tidak pernah 'minum' atau ambil benda yang terlarang.
"Doktor yang bertanya tentang hal itu pun agak terkejut juga. Dari mana puncanya kami pun tidak tahu," katanya.
Menurut Ruby, Lan juga meluahkan kepadanya bahawa beliau kuat untuk menghadapi cabaran melawan barah itu.
Sebagai isteri, Ruby cuba memberi semangat untuk walaupun hakikatnya sedang bimbang dengan keadaan suami.
"Dia yakin dia kuat.
"Selebihnya kita berikhtiar dan berserah. Abang kata dia okay dan kuat. Kita lawan.
"Saya tidak mahu dia down. Saya cuba mengawal perasaan tetapi tidak mampu," ujar Ruby dalam nada sayu.
Tambahnya lagi, aktor itu awalnya tidak percaya diagnosis berkenaan kerana berlaku secara mendadak.
"Kalau kata sakit jantung dulu ke apa. Ini tiba-tiba kanser tahap empat.
Mengulas lanjut mengenai keadaan kanser tahap empat dialami suami, Ruby sebak.
Memahami tahap kanser dan risiko yang diambil, Ruby berkata Lan cuba untuk menghadapinya sendiri.
Tidak menyatakan sama ada ingin mencuba rawatan alternatif ataupun tidak, setakat ini pelakon itu menolak kemoterapi.
"Doktor terangkan sudah tidak boleh dibedah kerana sel-sel sudah aktif dan merebak.
"Doktor juga suggest ubat tetapi ia tidak membantu. Hanya rawatan kemoterapi dan telah diterangkan buruk baiknya.
"Apa pun kami akan tunggu Jumaat ini tentang rawatan seterusnya.
"Tentang rawatan, dia tidak mahu buat kemoterapi dan mahu survive sendiri. Dia yakin boleh survive sendiri.
"Kami tanya bolehkah jika tidak mahu kemoterapi, doktor mengangguk. Abang pun pilih untuk survive," kongsinya.
Terdahulu Lan dimasukkan ke PPUM akibat batuk berpanjangan selepas keadaannya tidak berubah walaupun sudah mendapatkan rawatan di klinik sejak Oktober lalu.
Sama-sama kita doakan agar Lan Zailan dikurniakan kesembuhan.
Sumber: TikTok