DIHAMBAT kontroversi, pendakwah Miftah Maulana Habiburrahman mengambil keputusan melepaskan jawatannya sebagai Utusan Khas (Bahagian Kerukunan Beragama) Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
Hanya sempat menjalankan tugas selama 46 hari, pendakwah berusia 43 tahun berkata keputusan itu dibuat secara sukarela tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.
"Hari ini, dengan segala kerendahan hati dan keikhlasan dan dengan penuh kesedaran, saya ingin menyampaikan satu keputusan yang saya renungkan dengan sangat mendalam.
"Saya telah memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai Duta Khas Presiden bagi Keharmonian Beragama dan Pembangunan Kemudahan Beragama.
"Keputusan ini (letak jawatan) dibuat semata-mata kerana rasa cinta, hormat dan tanggungjawab saya yang sangat mendalam kepada bapak presiden (Prabowo).
"Tindakan ini bukan langkah terakhir saya untuk berkhidmat kepada negara melainkan cara yang lebih luas," katanya pada sidang media itu.
Dalam pada itu beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden Prabowo di atas kesempatan yang diberikan kepadanya selama ini.
"Minta maaf bapak, saya belum jadi seperti yang diharapkan," katanya lagi.
Terdahulu Miftah menerima kecaman bertubi-tubi berikutan kelakuannya yang viral memburukkan seorang penjual teh di sebuah forum tilawah di Kota Magelang baru-baru ini.
Bukan sahaja dari netizen, kritikan turut disuarakan Parti Gerindra pimpinan Presiden Indonesia Prabowo Subianto.
Baru-baru ini, beberapa petisyen dalam talian telah muncul di Change.org. Terdapat tujuh petisyen dalam talian di laman change.org meminta Presiden Prabowo Subianto menyingkirkan Miftah sebagai utusan khas presiden kerana mempersendakan penjual teh ais bernama Sunhaji..
Sebelum ini, Miftah menerima kecaman umum kerana mempersendakan penjual teh ais dengan perkataan 'goblok' kepada Sunhaji.
Miftah yang ditegur oleh Presiden Prabowo Subianto melalui Setiausaha Kabinet Mejar Teddy Indra Wijaya telah memohon maaf kepada orang ramai melalui video dan memohon maaf terus kepada Sunhaji.
Beliau telah menziarahi Sunhaji di kediamannya dan penjual teh ais itu juga pernah datang ke kediaman Miftah.
Sumber: CNN Indonesia