POPULARITI makanan tular sentiasa mendorong Farid Ismat Amil berfikiran di luar kotak demi merancakkan jualan yang diusahakan dari rumah dan gerai jalanan sejak Disember 2019.
Jika makanan itu menjadi rebutan ramai dan kena dengan selera, pasti pemuda berusia 30 tahun itu tidak betah duduk diam untuk menghasilkan resipi unik demi meraih jualan menguntungkan.
Terbaharu, menu Loaded Chachos Viral yang diperkenalkan membuka rezeki luar biasa buat usahawan kreatif yang terkenal dengan variasi masakan Barat, Arab dan Melayu itu.
Akuinya, gelombang tular membantu meningkatkan jualan makanan jalanan, pengasas jenama Bruhh Cheezo itu percaya setiap inovasi tersendiri mampu mengikat selera pelanggan.
Loaded Chachos Viral yang baru diperkenalkan menerima sambutan luar biasa. Mana tidaknya, 300 pek laku keras setiap hari. Kalau bertuah, tak sampai sejam boleh habis 200 pek.
"Alhamdulillah rezeki ALLAH. Sokongan pelanggan buat saya teruja untuk terus berjualan,” katanya yang berniaga setiap Jumaat di Tapak Pasar Covid-19 Simpang Empat Teluk Pulai, Sungai Betik, Klang, Selangor bermula jam 9 malam.
Tatkala ditanya keistimewaan hidangan yang diinspirasikan dari Sepanyol dan Mexico itu, anak kelima daripada enam beradik tersebut memberitahu, sos putih dan hijau yang menjadi inti utama hidangan berkenaan mempunyai rasa lain daripada lain.
"Saya cuba R&D sendiri sos putih selama tiga hari supaya dapat rasa sedap dengan gabungan masam manis supaya enak digaul dengan inti lain seperti daging cincang, tomato, bawang dan daun ketumbar.
"Daging cincang pun saya pastikan diperap dan dimasak dengan dua herba terpilih supaya rasa rempah kena dengan nachos nanti. Barulah •ngam• nak makan penuh selera,” ujarnya bersemangat.
Bersembang dengan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist ACS Klang ini, rupa-rupanya dia masih aktif berjualan dalam talian untuk pesanan dari rumah.
Meski hanya berpangkalan di Jalan Hassan, Sungai Udang, Klang, namun Farid tidak menang tangan memenuhi tempahan pelanggan sambil dibantu tiga pekerja.
"Kalau nak diceritakan tentang idea bisnes ini daripada awal, memang asalnya sekadar suka-suka masak dan beri kawan-kawan makan. Saya suka kek batik dan selalu masak lebih untuk jamu kawan satu pejabat.
"Bila mereka suka dan nak tempah untuk majlis keluarga, saya jadi semangat. Sedikit demi sedikit saya buat jualan kecil-kecilan sehinggalah berani ambil keputusan berhenti kerja,” kata bekas ketua logistik itu.
Bermula daripada jualan kek batik yang dinamakan Kek Batik Jantan, Farid kemudian mempelbagaikan menu jualan seperti Ciskut Bruhh, Kunafa Bruhh, Croissant Bread Pudding, Loaded Fries dan Mac n’ Cheese.
Perintah Kawalan Pergerakan sewaktu pandemik wabak Covid-19 menjadi kemuncak jualan diusahakan mencanak naik, malah label Bruhh Cheezo dikenali sehingga kini.
•Istimewanya untuk jualan Jumaat, harga bermula dari RM10 sahaja untuk tujuan bersedekah berbanding harga asal, RM15 hingga RM20.
Aplikasi pembayaran digital
Tidak menafikan sistem pembayaran digital lebih memudahkan peniaga, Farid tanpa berselindung berkata, urus niaga dalam talian lebih selesa dengan bayaran tanpa tunai.
"Sekarang ini semua orang nak senang dan selamat. Jadi, bagi saya pilihan pembayaran secara digital dengan imbas kod MAE DuitNow QR akan memudahkan pelanggan.
"Bukan apa, saya juga menerima pesanan makanan dalam talian. Jadi bagi memudahkan pembayaran, saya hanya kongsikan kod MAE DuitNow QR sebelum penghantaran terus ke rumah mereka,” katanya yang berminat untuk mendapatkan aplikasi Maybank QRPayBiz dalam masa terdekat.
Ini kerana anak jati Klang itu percaya sistem perbankan digital yang dipercayai ramai dapat melancarkan aliran wang tunai usahawan kecil sepertinya.
"Tak salah kalau kita sebagai peniaga untuk mengikut perkembangan teknologi perbankan semasa dan jika memberi manfaat, kenapa tidak untuk kita cuba?
"Lagi menarik, sesiapa yang membuat pendaftaran buat kali pertama dengan menggunakan kad pengenalan sahaja boleh dapat RM30.
"Jadi, memang menguntungkan semua orang •termasuk saya sebagai pengguna Maybank QRPayBiz nanti,” tuturnya positif.