Rita Nadira pilih tinggal dengan famili, enggan terbias dek glamor & populariti. 'Keluarga sumber kekuatan, tak pernah kena kongkong'

Iklan

PAKEJ yang beliau miliki boleh dikatakan cukup sempurna. Tinggi lampai dan dikurniakan wajah yang rupawan.

Pun demikian, bintang bernama Rita Nadira ini memilih untuk meniti perjalanan dengan langkah sederhana berbanding mengejar kilauan populariti dan kemasyhuran.

Iklan
Iklan

Pelakon cantik manis berasal dari Kuala Lumpur itu memulakan langkah awal sebagai seorang model sebelum terjun ke dalam dunia lakonan.

Dedah beliau, seawal usia 15 tahun dirinya sudah melangkah ke dunia peragaan atas dorongan kakaknya, Rita Suraya yang juga seorang model terkenal.

Iklan

"Pada mulanya, saya langsung tidak ada niat untuk menjadi model. Kakak yang memperkenalkan saya kepada dunia peragaan ini.

"Masa itu, saya hanya ikut sahaja dan tidak sangka, daripada situ mula seronok dan jatuh cinta dengan dunia fesyen, malah saya berpeluang pegang duit hasil titik peluh sendiri," jelas Rita tatkala mengimbau kembali momen indah bergelar peragawati.

Iklan

Ditengah-tengah keseronokan itu, beliau peroleh rezeki untuk menyambung pengajian.

"Saya kemudiannya menyambung pengajian ke peringkat diploma. Awalnya, kursus yang ditawarkan bukan pilihan atau minat saya, namun ibu pujuk supaya terima terlebih dahulu.

"Alhamdulillah saya berjaya habiskan pengajian dalam bidang Seni Persembahan (Teater) di Universiti Teknologi MARA (UiTM),” ujarnya yang tetap aktif sebagai model tanpa mengabaikan pelajaran.

Namun selepas tamat pengajian, perancangan asal untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi mula berbelah bahagi.

Watak antagonis

Manakan tidak, tawaran sebagai model tidak putus-putus dan beliau melihat hal tersebut sebagai rezeki yang tidak mampu ditolak.

"Saya pada mulanya lebih tertarik untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, namun tawaran demi tawaran datang membuatkan saya akur menerimanya.

"Pada saya, ia bukan sekadar pekerjaan, tetapi lebih kepada peluang untuk berkembang, mengenali diri, dan bertemu dengan orang baharu yang memberi banyak makna dalam hidup saya,” jelasnya lagi.

Anak bongsu dari enam beradik itu kemudiannya melangkah setapak lagi apabila menjejakkan kaki ke dunia lakonan.

"Waktu itu, saya dipujuk pengurus untuk menghadiri uji bakat. Katanya, buat apa ada kelulusan dalam bidang teater jika tak praktikkan. Awalnya hati saya berbolak-balik, bimbang pun ada sebab bukan minat saya.

"Lama-kelamaan saya lembut hati dan mencuba nasib. Saya tidak sangka terpilih untuk berlakon satu telemovie. Daripada situlah tiktik tolak kerjaya sebagai pelakon,” ungkap pemilik nama sebenar Rita Nadira Mohd Ritamurni.

Beliau memulakan kerjaya lakonan pada 2019 menerusi telefilem Kisah Seram Hostel dan pada tahun 2021, beliau berlakon di samping Fendy Bakry dan Intan Najuwa dengan memegang watak Melissa dalam drama Tak Sempurna Mencintaimu.

Terbaharu gadis jelita berusia 27 tahun itu memegang watak utama dalam drama bertajuk Dhia Kasyrani yang kini sedang ditayangkan di TV3.

"Saya teruja membawakan watak Dhia dalam drama ini. Sebagai seorang yang biasanya dilihat memegang watak antagonis, watak Dhia ini adalah cabaran baharu bagi saya.

"Ia bukan sahaja memerlukan diri untuk menonjolkan sisi yang baik dan sabar, malah juga menunjukkan ketabahan seorang wanita yang kelihatan lemah dari luar, tetapi sebenarnya sangat berani dan kuat di dalam. Saya percaya penonton akan dapat merasai perjuangan Dhia,” ujar Rita lagi.

Jika diamati perjalanan beliau dalam dunia lakonan pasti sedar, Rita mula menuai perhatian ramai apabila kerap kali ditawarkan watak antagonis atau karakter jahat.

Ditebak dengan persoalan adakah itu satu strategi atau batu loncatan untuk mudah dikenali, ini jawapan beliau:"Saya tak terfikir untuk menjadi terkenal menerusi watak antagonis. Namun, mungkin penampilan yang agak tinggi dan wajah yang agak garang, banyak watak jahat datang pada diri ini,” dedah Rita lagi.

Tidak mudah koyak

Bahkan beliau turut mengakui teragak-agak untuk melakukannya, malah pernah krew produksi mengingatkannya supaya bersedia untuk dimaki dan dibenci penonton.

"Waktu itu saya tak fikir yang bukan-bukan dan terima itu sebagai sebahagian daripada cabaran. Cuma bila difikirkan semula, watak antagonis selalu mendatangkan reaksi negatif daripada penonton, namun itulah yang membantu mengangkat nama saya selama ini.

"Watak sedemikian ibarat tuah dan saya tidak menolak setiap kali terima tawaran sedemikian sebab seronok dan kena dengan jiwa,” katanya.

Meskipun memegang watak yang dibenci, Rita tenang dan tidak mudah ‘koyak‘. Bahkan, beliau berlapang dada dengan komen negatif.

"Kalau komen pedas sangat, saya akan padam atau block sahaja. Ini kerana, mental dan fizikal pelakon perlu berada dalam keadaan yang baik, barulah anda boleh berikan yang terbaik kepada penonton.

"Sebab itu saya sangat menjaga hal tersebut supaya tidak terkesan dengan kata-kata negatif segelintir pihak," jelasnya lagi.

Melihatkan gandingan mantap beliau dengan pelakon hebat lain, penulis sempat mengusik, mungkinkah dirinya ada ‘kabel‘ sehingga mampu sebaris dengan nama-nama besar seperti datuk Rosyam Nor, Zamarul Hisham, Jalil Hamid, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Noorkhiriah dan Fikry Ibrahim selain berjaya menggenggam naskhah hebat, ini komen Rita.

"Setakat ini saya belum dengar lagi cakap-cakap belakang tentang ‘kabel‘ dan sebagainya. Lagi pun, watak-watak yang saya terima bukan datangnya dari produksi yang sama. Jika sama sekali pun berbeza watak baik peranan utama atau pembantu,” tegasnya.

Akui Rita, dirinya banyak belajar melalui pemerhatian dan mengambil input lakonan artis-artis lebih berpengalaman selain pergi kelas lakonan.

"Misalnya pengalaman berlakon dengan Zamarul Hisham, beliau banyak bantu dan selalu bagi motivasi. Kata beliau, jangan anggap diri berada di bawah kerana itu tidak akan membantu seseorang itu untuk naik (berjaya).

"Kalau sudah digandingkan dengan pelakon hebat, maka itu bermakna anda juga sehebat individu tersebut. Memang awalnya, saya rasa kenapa harus ada pemikiran tersebut, namun saya mula faham.

"Memang wajar kena ada rasa (hebat), kerana ia ibarat motivasi untuk diri sendiri selain menaikkan keyakinan supaya tidak rasa takut, kekok dan sebagainya,” katanya.

Glamor dan populariti

Beliau dalam pada itu mengakui tidak pernah mengalami situasi kena buli kerana kebanyakan artis baik yang baharu atau lama baik-baik belaka.

"Lagipun di set penggambaran, saya jarang bercakap dan selalu jarakkan diri. Jika sudah selesa barulah barulah mula tegur.

"Saya tidak suka menonjolkan diri dan memilih cara yang sederhana. Alhamdulillah, tawaran yang diterima juga tidak putus-putus dan itu sudah memadai,” ulas Rita lagi.

Mendengar kata-kata beliau, memang tidak hairanlah kenapa wanita berketinggian 172 sentimeter itu memilih untuk tinggal bersama keluarga berbanding hidup bujang di luar.

"Keluarga saya adalah kekuatan utama dalam hidup. Mereka faham dan memberi sokongan penuh. Sebab itu saya lebih tenang bersama keluarga.

"Soal kongkong atau kena kawal tidak timbul kerana ibu dan ayah sangat memahami dan tahu pekerjaan saya ada masanya terpaksa balik lewat malam dan sebagainya,” jelas Rita lagi.

Bahkan peminat rona biru itu juga mengakui bukanlah seorang yang suka lepak di luar sehingga lewat malam.

"Sejujurnya, saya seorang yang gemar duduk rumah. Malas nak keluar jika tidak ada sebarang penggambaran. Kalau boleh, saya suka berehat dan bersantai di rumah sahaja sambil menonton TV.

"Kalau orang kata ‘me time‘, mungkin itulah salah satu cara saya hilangkan tekanan penat bekerja. Selain itu, saya juga suka beli-belah sendirian kerana tak perlu nak terburu-buru atau pening kepala nak tunggu orang lain, kan?” ungkap Rita yang mengakui rapat dengan teman baiknya yang juga pelakon Bella Dowanna.

Kongsinya lagi, beliau bahagia dengan apa yang dirinya ada sekarang. Bahkan, beliau enggan terlalu terikat dengan dunia glamor dan populariti.

"Saya juga ada impian untuk menceburi bidang perniagaan, tetapi masih dalam perancangan. Mungkin tahun depan, tapi semuanya bergantung kepada masa.

"Berlakon memerlukan komitmen penuh, dan jika saya mulakan bisnes, banyak perkara yang perlu diuruskan,” kata Rita yang memilih untuk mengeluarkan beg atau kasut jika ada rezeki kelak.