KUTU rambut atau pediculus humanus capitis, sejenis serangga parasit yang sangat kecil, berwarna kelabu atau coklat dan bergerak secara merayap di kulit kepala.
Bagi orang dewasa, ia mungkin dianggap sebagai masalah kecil, namun tidak bagi kanak-kanak kerana boleh mengganggu bukan sahaja keselesaan fizikal tetapi juga emosi mereka.
Masalah tersebut mudah merebak dan sekiranya tidak ditangani dengan betul, ia membawa kepada komplikasi kesihatan yang lebih serius.
Menurut Pakar Estetik Radiant Clinique, Dr. Syairah Nadia Mohamad, situasi berkenaan berlaku kerana sentuhan kepala ke kepala, yang biasa dalam kalangan kanak-kanak ketika bermain, berkongsi barangan peribadi seperti sikat, topi, atau bantal.
"Oleh itu, ibu bapa perlu peka dengan beberapa tanda yang menunjukkan anak mereka dijangkiti kutu rambut.
"Antaranya, rasa gatal yang teruk di kulit kepala terutama akibat gigitan kutu.
"Ini kerana kegatalan itu boleh menyebabkan anak menggaru dengan kerap hingga mengakibatkan kesan calar di kulit kepala atau belakang telinga,” kata beliau.
Selain itu, ibu bapa juga mungkin dapat melihat kutu hidup yang kecil berwarna kelabu atau coklat di rambut anak.
Telur kutu, atau dikenali sebagai nit, biasanya kelihatan melekat pada pangkal rambut, terutamanya di bahagian tengkuk dan belakang telinga,” kata beliau.
Jangkitan bakteria
Tambah Dr Syai, kutu rambut bukan sahaja menyebabkan gatal-gatal, tetapi boleh membawa kepada masalah lain jika tidak dirawat.
Contohnya, calar yang terhasil kepada kulit kepala daripada garu berlebihan boleh menyebabkan jangkitan kulit sekunder seperti impetigo, iaitu jangkitan bakteria pada kulit.
Selain itu, rasa gatal yang berterusan juga boleh mengganggu tidur kanak-kanak sekali gus menjejaskan keselesaan dan fokus mereka.
Oleh itu, terdapat beberapa cara terbaik untuk menghapuskan kutu rambut, antaranya:
- Gunakan syampu khas atau rawatan farmasi yang mengandungi bahan seperti permethrin atau pyrethrin.
- Sikat rambut dengan sikat kutu (fine-toothed comb) untuk membuang kutu dan telur secara manual.
- Basuh pakaian, tuala dan cadar menggunakan air panas untuk membunuh kutu dan telur.
- Ulangi rawatan selepas tujuh hingga 10 hari untuk memastikan semua kutu dan telur telah dihapuskan.
Ia dipercayai dapat mengurangkan pergerakan kutu dengan cara menyekat saluran pernafasan mereka.
Walaupun demikian, keberkesanannya tidak sekuat rawatan farmasi yang dirumus khusus untuk membunuh kutu dan telurnya.
Cuma, untuk hasil yang lebih berkesan, penggunaan ubat tradisional tersebut boleh digabungkan dengan menyikat rambut menggunakan sikat kutu halus, bagi memastikan kutu dan telur yang tersembunyi dibuang sepenuhnya.
Jadi, masalah kutu rambut dapat ditangani dengan lebih efektif dan menyeluruh.
Untuk rekod, serangga itu perlu berada di kepala manusia untuk terus hidup.
Sekiranya tidak, ia akan mati dalam tempoh dua hingga tiga hari.
Kutu betina bertelur sebanyak enam hingga lapan telur sehari dan mampu bertelur lebih 100 biji sepanjang hayatnya.
"Ramai beranggapan faktor kebersihan atau jenis rambut tidak mempengaruhi risiko dijangkiti kutu.
"Sebenarnya, serangga ini tidak memilih antara rambut bersih atau kotor, lurus atau kerinting.
"Selagi terdapat peluang untuk bersentuhan langsung dengan kulit kepala manusia, kutu boleh terus hidup dan merebak dengan cara merayap kerana tidak boleh melompat atau terbang,” tambah Dr Syai.
Oleh itu, masih belum terlambat untuk mencegah dari berlakunya kutu rambut pada seseorang atau mungkin mahu mengelakkan terjadinya masalah ini berulang lagi, boleh praktikkan amalan ini:
- Elakkan berkongsi barang peribadi seperti sikat atau topi.
- Ajar kanak-kanak untuk mengelakkan sentuhan kepala ke kepala yang terlalu rapat.
- Periksa rambut secara berkala untuk memastikan tiada kutu atau telur yang tertinggal.
- Bersihkan peralatan rambut dan basuh pakaian serta cadar dengan kerap.
Dengan rawatan yang tepat, konsisten serta pemahaman yang tepat mengenai punca, rawatan, dan pencegahan kutu rambut, ibu bapa dapat melindungi anak-anak daripada masalah berkenaan.