GABUNGAN suara Biduanita Negara, Datuk Sri Siti Nurhaliza dan penyanyi popular Indonesia, Judika menyanyikan lagu Kisah Ku Inginkan sebagai pembuka tirai konsert The Journey of Sound berjaya menggegarkan Stadium Merdeka pada Sabtu lalu.
Konsert yang berjaya menghimpunkan 24,000 penonton itu meninggalkan 1001 kenangan manis buat mereka yang yang mengenakan tema putih denim dan disajikan lebih 30 buah lagu secara solo dan duet oleh penyanyi pujaan mereka pada malam itu.
Siti Nurhaliza yang mesra disapa Tokti tampil menyerlah dengan mengenakan tiga busana cantik berwarna putih dan biru berjaya menawan hati penonton dengan persembahan lagu beliau seperti Aku Cinta Padamu, Kesilapanku Keegoanmu, Hati Kama, Seindah Biasa dan banyak lagi.
Tidak kurang hebatnya penyanyi tampan dari negara seberang itu yang menyanyikan lebih daripada 10 buah lagu tanpa henti diawal konsert bermula.
Bagi yang terlepas untuk menyertai konsert, ini adalah momen menarik yang berlaku sepanjang konsert The Journey of Sound: Judika & Siti Nurhaliza
1. Konsert dimulakan dengan penuh tenaga oleh Faizal Tahir yang menghiburkan penonton dengan tiga lagu popularnya.
2. Gimmik Tokti dan Judika diarak masuk mengelilingi stadium Merdeka menggunakan kereta sport sebelum muncul di atas pentas.
3. Persembahan bunga api yang memukau menambahkan lagi keindahan malam itu.
4. Seramai 24 ribu penonton turut menari bersama Tokti sepanjang segmen tradisional yang penuh warna-warni.
5. Dua penonton bertuah membawa pulang hadiah utama iaitu sebuah kereta jenama BMW dan sebuah skuter.
6. Gelak tawa tercetus apabila Tokti sempat mengusik geng OT yang menonton konsert secara percuma dari bangunan berhampiran Stadium Merdeka.
7. Penonton terpukau dengan vokal Tokti menyampaikan lagu milik Judika berjudul, Bukan Dia Tapi Aku. Sama juga buat Judika dengan jayanya mampu menyampaikan dengan sempurna lagu Wajah Kekasih lagu asal dari Biduanita Negara itu.
8. Tokti sempat ‘belanja’ tarian dari kumpulan NYSC ‘bye bye bye’ yang pernah dipersembahkan oleh anak lelakinya di media sosial sebelum ini.
9. Segmen sing-along menjadi tumpuan apabila lagu malar segar seperti Mengintai Dari Tirai Kamar dan Fantasia Bulan Madu dinyanyikan bersama, disusuli lagu baharu kegemaran ramai, Hal Hebat.
10. Persembahan penutup yang penuh energi diserikan dengan kejutan kemunculan semula Tokti dan Judika ke pentas mendendangkan lagu Nirmala bersama.