‘Ini bukan soal fenomena, tapi rezeki dari ALLAH...' Fattah Amin terus melangkah, anak & keluarga sumber kekuatan!

Iklan

TERUS melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Itu yang dilakukan tuan punya badan tatkala bahtera perkahwinan yang dibina atas dasar suka sama suka akhirnya musnah selepas tujuh tahun hidup bersama.

Biarpun hal tersebut mengundang kontroversi, namun sikapnya yang enggan berkongsi hal 'dalam kain' dan memilih berdiam diri daripada mendedahkan aib pihak lain dipuji ramai.

Iklan
Iklan

Untuk rekod, pelakon Fattah Amin dan Nur Fazura sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 7 Oktober lepas.

Saat ikatan perkahwinannya terlerai, pelantun lagu Wanita Terakhir itu mula meraih publisiti luar biasa. Bahkan, beliau mendapat gelaran 'duda hot' dan berjaya mencetuskan fenomena tersendiri.

Iklan

Manakan tidak, belum ada video siaran langsung mana-mana selebriti dalam aplikasi TikTok sebelum ini yang berjaya meraih lebih 100,000 penonton dengan 44 juta tanda suka atau like walaupun bersiaran dalam tempoh tiga jam sahaja.

Namun penangan Fattah Amin, bukan hanya produk mendapat sambutan, bahkan apa sahaja yang aktor kacak tinggi lampai itu jual menerusi media sosial pasti akan laku 'keras’.

Iklan

Nama meledak

Bukan sahaja meraih ribuan peminat drama tanah air, namanya turut meledak sehinggakan ramai pengusaha produk dan jenama memburu jejaka kacak berkulit putih itu.

Kesibukan Fattah turut diakui pengurusnya yang memberitahu, jadual artis jagaannya itu sudah penuh sehingga ke tahun hadapan.

Terbaharu, rezeki datang bertandang lagi buat anak kelahiran Kuala Lumpur itu apabila dipilih sebagai duta dan wajah baharu Usanita Entertainment bagi tahun 2025.

Sekali gus bakal muncul sebagai watak utama berganding bersama pelakon Sophia Albarakbah membintangi drama berjudul Aku Cinta Dia.

Drama arahan sutradara terkenal, Erma Fatima itu bakal ditayangkan secara eksklusif di platform digital TikTok Usanita.

Ia dijadualkan menjalani penggambaran di United Kingdom bersempena kesinambungan program Bridge to Brilliance 3.0 Oxford pada Februari 2025.

Mengulas lanjut berkenaan tugasnya sebagai duta bagi syarikat berkenaan, Fattah menggalas tanggungjawab mempromosikan setiap kandungan digital syarikat berkenaan.

"Alhamdulillah, ini semua rezeki dan pemberian ALLAH yang sudah sediakan untuk saya. Sebagai umat Islam, kita kena percaya perkara tersebut,” ungkap fattah ketika ditemui pada dalam majlis sidang akhbar pelantikannya sebagai duta syarikat berkenaan baru-baru ini.

Kolaboratif pelakon filem epik Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan tersebut dengan satu-satu jenama atau produk juga tidak mengecewakan, sehinggakan setiap kali bekerjasama, pasti terselit komitmen untuk tuan punya badan membuat video dan sebagainya.

Content 'bersepah’

Lantaran ‘bersepah’ content pemilik nama sebenar, Abdul Fattah Mohd Amin di media sosial mengundang rasa kurang senang segelintir netizen. Ada yang mengaitkan dirinya diperguna pihak tertentu demi melariskan produk.

Bahkan tidak kurang yang menganggap beliau ‘tamak’ sehingga bolot semua tawaran yang tiba diribanya.

Tatkala perkara itu diajukan, lelaki berusia 34 tahun tersebut menegaskan, tidak timbul isu dirinya diperguna atau istilah ‘menunggang’ isu peribadi semata-mata demi kepentingan diri kerana rezeki beliau sudah tertulis.

"Bukan semua saya terima, sebaliknya, setiap tawaran dan komitmen yang diperoleh sudah difikirkan baik buruknya dan dipersetujui bersama. Sebab itu, saya cuba lakukan sehabis baik demi melunaskan tanggungjawab yang diberikan supaya kedua belah pihak gembira.

"Pihak pengurusan turut membantu dan selektif tentang pemilihan satu-satu produk. Soal video yang dikatakan asyik tular atau FYP di media sosial, itu di luar kawalan saya. Jika ia sesuatu yang baik, saya sangat bersyukur, lebih-lebih lagi jika hal berkenaan mendatangkan kegembiraan kepada klien. Berbaloi mereka mengambil saya, kan?

"Apabila orang (netizen) suka mereka akan komen dan kongsi video tersebut. Itu membuatkan ia meraih tontonan ramai. Demikian juga dengan tulisan atau komen seseorang, saya tiada hak untuk sekat untuk mereka berbuat demikian,” ujarnya lagi.

Bahkan kongsi Fattah lagi, terpulang kepada pandangan masing-masing untuk membuat tafsiran kerana beliau hanya melakukan kerja yang diberikan.

"Kalau ada yang meluat, saya tak mampu nak buat apa-apa, cuma kalau yang faham apa itu content, maka mudah lah tetapi jika jenis yang ambil serius memang akan jadi lain.

"Saya pun tidak fikir akan soal fenomena, sebaliknya mahu berikan yang terbaik dalam setiap kerja. Setiap hari saya cuba sibukkan diri dan tak nak fikir sangat benda-benda lain. Saya cuba fokus kepada bab kerja sahaja,” jelas jejaka dengan ketinggian 183 sentimeter itu yang enggan berkongsi mengenai bayaran yang beliau terima untuk satu-satu tawaran.

Bapa tunggal kepada seorang cahaya mata perempuan itu pada masa sama, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada ibu bapa dan ahli keluarga lain yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepadanya.

"Memang tidak dinafikan sekarang kerja saya ‘back to back’. Mujurlah ibu bapa selalu ada di sisi dan baru-baru ini saya dan enam ahli keluarga termasuk mak ayah mengerjakan umrah bersama-sama.

"Di sana, saya menitipkan doa semoga diberikan kelancaran dalam segala urusan.

"Waktu di sana saya memilih untuk menutup wajah, kerana mahu beribadat dengan tenang namun masih ada yang mengenali. Rezeki mereka dapat bertemu dan saya melayan seadanya,” ungkap Fatah lagi.

Pernah kena buli

Sempat juga penulis bertanyakan soal jodoh dengan wanita lebih berusia. Kata anak sulung dari lima beradik itu, tiada masalah andai itu takdirnya.

"Jodoh di tangan ALLAH. Saya tiada masalah dan tidak kisah (andai dijodohkan). Yang penting hati mulia,” ringkas dan cukup bermakna.

Sebelum tirai perbualan dilabuhkan, penulis turut meminta pandangan pemegang Ijazah Pengurusan Industri Kreatif itu berkenaan isu buli yang tidak berkesudahan sehingga kini.

Sementelah beliau merupakan ayah kepada puteri kesayangannya, Nur Fatima Aisya yang kini berumur tiga tahun.

Memang tidak dinafikan, perbuatan buli Itu kata beliau bukan hanya di sekolah atau pusat pengajian, bahkan dalam semua bidang pasti ada berlaku (buli).

Bahkan kata Fattah, dalam indusri seni pun turut berlaku dan ia mendatangkan kesan yang tidak baik sehingga ada yang mengundang tekanan dan membabitkan kecederaan.

"Pada saya, perbuatan yang tidak sihat begini sepatutnya tidak berlaku. Sebagai mangsa yang pernah kena buli suatu ketika dahulu. Waktu itu, saya masih naif dan tidak terdaya untuk melawan.

"Jadi, sudah semestinya saya tidak ingin perkara sebegini berlaku kepada anak sendiri. Justeru, tanggungjawab sebagai ibu bapa kena lebih peka dan sentiasa ambil tahu akan keberadaan anak-anak anda, dengan siapa mereka berkawan, keluar ke mana dan sebagainya.

"Ini salah satu cara untuk mengelakkan kejadian buli berlaku kepada anak-anak kita. Ia mengundang kesan tidak baik kepada mental dan juga fizikal seseorang,”ujar Fattah lagi.