Ketengahkan konsep minimalis & reuse, wanita ini kongsi transformasi stor ke ruang pejabat. Ringkas & praktikal!

Iklan

SEBUT sahaja stor, pasti kalian boleh bayangkan bagaimana situasi di dalamnya.

Pening kepala apabila mahu mencari sesuatu barang, lebih-lebih lagi jika anda bukan suka susun barang mengikut jenisnya.

Iklan
Iklan

Semuanya dilonggokkan dan apabila nak guna baru cari. Bukan malas, cuma selain tiada masa, faktor barangan yang banyak menyukarkan untuk kita berbuat demikian.

Pun demikian, jika anda kreatif dan tidak mahu ruang yang ada dibazirkan, boleh sahaja hias stor menjadi satu sudut yang menarik dan berguna, namun jika anda bijak dan kreatif, pasti tidak menjadi masalah.

Iklan

Demikian juga perkongsian Emi Erdayu Jasmi bersama SinarPlus, bagaimana beliau dan suami, Mohd Faizal Abd Rahman yang merupakan ketua penyelaras Pasukan Teknikal ICT Sekolah Zon Kati, Kuala Kangsar, Perak sama-sama mendekorasi stor menjadi ruang pejabat dengan cara yang mudah namun sedap mata memandang.

Operasi menukar 'wajah' stor bermula sepanjang cuti persekolahan iaitu bulan Disember tahun lepas dan mengambil masa lebih kurang dua minggu.

Iklan

Mengakui proses pengubahsuaian atau make over itu dilakukan sekadar untuk memberikan keselesaan. Pada masa sama, membolehkan beliau dan rakan-rakan berada dalam keadaan yang selesa dan gembira.

Cantik, teratur dan menjimatkan ruang. Itu pujian yang boleh diberikan kepada wanita ini bersama suami dan rakan-rakannya apabila berjaya mentransformasikan stor yang sempit kepada ruang yang kemas tersusun dan selesa untuk digunakan.

"Asalnya saya bersama beberapa rakan lain dipindahkan bertugas secara kumpulan. Namun, penempatan yang disediakan (dipinjamkan) tidak selesa buat kami berenam ketika itu.

"Kebetulan ada stor di sebelah pejabat yang tidak digunakan, jadi saya dan suami, berbincang untuk menggunakan ruang tersebut sebagai pejabat operasi kumpulan kami," ujar juruteknik komputer itu lagi.

Beliau sebelum itu bertugas bersama Pasukan Teknikal ICT Sekolah Zon Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar Perak sebelum bertukar ke Pasukan Teknikal ICT Sekolah Zon Talang, Kuala Kangsar Perak.

Konsep minimalis

Menurut wanita itu lagi, beliau dan suami sememangnya meminati seni dekorasi dan suka membuat dekorasi baik di pejabat mahupun kediaman sendiri.

Menyentuh mengenai modal untuk proses dekorasi tersebut, Emi mengakui tidak banyak perbelanjaan yang dikeluarkan.

Ini kerana, mereka menampilkan konsep minimalis dan mengguna pakai atau reuse barangan yang sedia ada sahaja.

"Kami menggunakan dana sendiri hasil kutipan sebanyak RM300 dan anggaran kasar untuk proses pengubahsuaian lebih kurang RM500. Namun, dengan mengguna pakai barangan yang ada dapat menjimatkan kos.

"Kalau diikutkan, elektrik tiada namun suami betulkan semula sistem pendawaian selain menukar semua lampu dan kipas yang sudah rosak. Demikian juga dengan bahagian tandas yang ditukar kepala paip. Tiada pembelian perabot baharu, sebaliknya kami menggunapakai yang sedia ada.

"Cuma kami beli kertas dinding baharu, permaidani, bidai, cat dan sebagainya. Mana-mana perabot yang perlu ditukar warna, kami hanya gunakan cat warna hitam sahaja. Alhamdulillah, hasil yang diperoleh memuaskan dan memudahkan urusan kami," ujarnya lagi.

Kongsi beliau lagi, stor dengan keluasan lebih kurang 1,000 kaki persegi tersebut asalnya adalah sebuah kuaters guru lama yang telah ditinggalkan dan tidak digunakan lagi.