Pelakon Lan Zailan meninggal dunia pada usia 66 tahun

Iklan

AKTOR Lan Zailan atau Zailan Kamaruddin menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 4.20 pagi tadi.

Allahyarham Lan yang sedang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak Ahad lalu disahkan menghidap kanser pankreas pada awal Disember lalu.

Iklan
Iklan

Jenazah Allahyarham akan dimandikan dan dikafankan di PPUM serta akan disembahyangkan di Masjid As Salam, Puchong Perdana.

Setelah itu, arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan USJ 22.

Iklan

Lan terdahulu dibenarkan keluar wad dan pulang ke rumah untuk berehat pada Sabtu 14 Disember, namun dikejarkan semula ke unit kecemasan zon merah PPUM pada malam Ahad dan dipantau 24 jam oleh doktor.

Menurut isteri Allahyarham, Ruby Sara Omar, doktor terdahulu telah meminta semua ahli keluarga berkumpul manakala arwah telah dipindahkan ke wad.

Iklan

Allahyarham sebelum diagnosis kanser pankreas telah dirujuk ke pusat perubatan itu selepas mengalami batuk berpanjangan selepas keadaannya tidak berubah walaupun sudah mendapatkan rawatan di klinik sejak Oktober lalu.

Wajahnya selalu menghiasi kaca televisyen menghiburkan para penonton.

Mula berlakon pada tahun 1990 menerusi drama Santan Berlada, Lan tidak asing lagi dengan watak antagonis.

Beliau juga memegang peranan di dalam siri televisyen terkenal Gerak Khas dari tahun 1999 hingga 2004.

Antara filem yang dibintangi Lan ialah Suami, Isteri dan.....?, Anaknya Sazali, Bini-Biniku Gangster, Ngangkung dan Jangan Pandang Belakang Boleh.

Innalillahi wainna ilai hirojiun. Al-Fatihah buat Zailan Kamaruddin.