TUJUH tahun duduk di atas kerusi roda dek kerana diserang strok, Muhammad Rizal Mansoor bagaimanapun enggan membiarkan situasi tersebut membantutkan hasrat mencari rezeki buat keluarga kecilnya.
Sedar tanggungjawab digalas sebagai ketua keluarga bukan semudah yang dilihat oleh mata kasar, lelaki berusia 42 tahun itu awalnya bergantung hidup pada jualan kerepek untuk menyara isteri dan dua orang anaknya.
Mujurlah juga isteri tercinta turut sama membantu mencari wang lebih bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga.
Pun demikian, hasil yang diperoleh tidaklah sebanyak mana membuatkan anak kelahiran Kota Singa itu mula mencari jalan keluar yang terbaik buat mereka.
Lantaran itu, seorang kawan cuba membantu dengan membuka jalan untuk Rizal menjadi ejen jualan bagi sebuah syarikat yang mengeluarkan produk berasaskan coklat.
Pun demikian, Rizal masih was-was, bimbang bagaimana beliau mampu berbuat demikian sedangkan pergerakannya terbatas, sepanjang masa terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak ke sana ke mari.
"Waktu itu, saya tidak memandang serius akan pelawaan menjadi ejen Choco Albab kerana bimbang tidak mampu berbuat demikian dengan keadaan diri saya.
"Namun, saya buntu sampai bila mahu bergantung kepada jualan kerepek sedangkan anak-anak masih kecil dan memerlukan perbelanjaan untuk persekolahan. Waktu itu, isteri dan anak-anak memberi sokongan dan suruh cuba terlebih dahulu," ujarnya yang mesra disapa Rizal.
Beliau berkata demikian ketika ditemui SinarPlus baru-baru ini dalam satu majlis ulang tahun ketiga Choco Albab.
Dalam majlis tersebut, Rizal antara ejen yang diraikan dan menerima anugerah Sales Warrior Award 2024, Gladiator Leader Award 2024 dan Inspiring Leader Award 2024 atas pencapaian terbaik beliau dan menjadi inspirasi.
Membuktikan kekurangan diri bukan penghalang untuk mengecap kejayaan, anak bongsu daripada lima beradik itu berjaya membuat jualan sebanyak RM10,000 dalam tempoh sebulan.
"Waktu itu saya sendiri sukar untuk percaya dengan apa yang diperoleh dengan keadaan diri saya yang bergantung kepada kerusi roda dan pada masa sama kaki saya mengalami luka.
"Keadaan ini turut menyebabkan kaki saya sebelah kiri asyik keluar air dan perlu selalu lap. Pernah ketika sedang mendengar kursus yang diadakan oleh pihak syarikat, sebelah tangan saya memegang mop untuk lap air yang keluar dari kaki.
"Namun, saya tak mahu jadikan ia sebagai batu penghalang untuk berjaya. Demi isteri dan anak-anak, saya perlu bangkit semula," ujar Rizal lagi.
Hilang ingatan
Rizal turut mengimbas kembali detik hitam tujuh tahun lalu yang menyebabkan dirinya bergelar orang kurang upaya (OKU) kini.
Dua bulan sebelum berhenti kerja di sebuah kedai, dirinya di serang strok dan oksigen yang tidak sampai ke otak, malah dia juga mempunyai penyakit darah tinggi menyebabkan dirinya koma selama dua minggu.
Akibatnya dia terpaksa melakukan pembedahan dan selepas itu, doktor mengesahkan dirinya tidak beupaya untuk melakukan sebarang kerja. Selain terpaksa memakai lampin pakai buang, Rizal juga kerap dimasukkan ke hospital.
Bahkan, doktor turut memberitahu kemungkinan beliau akan hilang ingatan dan sukar untuk kembali kepada situasi sebelum ini.
"Selepas sedar daripada koma, saya ibarat diberi peluang kedua untuk hidup, namun saya terpaksa bergantung kepada kerusi roda jika mahu bergerak ke mana-mana.
"Keluarga adalah penguat semangat dan pendorong untuk saya bangkit kembali. Selain isteri, ibu adalah tulang belakang saya. Beliau selalu pesan supaya saya sentiasa baca al-Quran. Alhamdulillah, ingatan saya kembali sedikit demi sedikit.
"Apa yang membuatkan saya terharu dan sebak, kerusi roda ini adalah hadiah seorang jiran yang prihatin dengan keadaan diri saya," ungkap Rizal.
Dalam pada itu, beliau juga melahirkan rasa syukur kerana berjaya membuktikan keupayaan diri dan mencapai impian untuk mengubah kehidupan mereka sekeluarga.
"Jangan cepat putus asa atau menyerah sebelum memulakan langkah. Yakin dengan rezeki yang ALLAH berikan. Itu yang saya pegang dalam memotivasikan diri dan minda.
"Kalau tak buat, kita takkan dapat. Sebab itu kena buat dulu, barulah dapat hasilnya," ungkap Rizal.