PELAKON dan pengarah, Farid Kamil Zahari menzahirkan rasa terharu disambut sebagai alumni di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Syed Omar (SMKDSO), Alor Setar, Kedah.
Menerusi video yang dimuat naik di Instagram, aktor berusia 43 tahun itu diarak masuk ke dalam dewan bersama bonda tercinta, Datin Sharifah Bardah Syed Abdillah dan bapa, Datuk Dr Zahari Che Dan.
Mengimbau kenangan zaman sekolah, pelakon Anak Halal dan Evolusi KL Drift itu mendedahkan kenangan berada di prauniversiti sekolah berkenaan sebelum melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).
"SMKDSO tahun 1998.
"Rasa kecewa kerana tidak diterima masuk mana-mana universiti awam membuatkan saya terpaksa memasuki prauniversiti. Keinginanan yang tidak terbendung untuk memiliki kad matriks universiti membuatkan saya berusaha menghantar permohonan kemasukan kedua Universiti Teknologi MARA (UiTM) sesi 2000.
"Ketika menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi kertas Makro Ekonomi, rasa 'mual' serta 'jijik' mula menerpa hati dan benak fikiran sehinggakan setiap helaian kertas jawapan saya diconteng dengan 'Saya nak masuk UiTM' beratus baris dan saya sendiri mengaminkannya.
"Alhamdulillah petang itu saya menerima tawaran daripada UiTM dan bermulalah perjalanan saya sebagai pelajar universiti.
"Sejarah mungkinkah berulang? Hari Alumni SMKDSO 2024 ini membuatkan saya berasa terharu kerana Farid Kamil disambut meriah sebagai Sumber Inspirasi Anak Muda Kedah Darul Aman.
Warga maya mengucapkan tahniah kepada Farid dan memuji pelakon itu mempunyai hubungan yang baik dengan sekolahnya.
"Alhamdulillah. Selamat maju jaya," kongsinya.
Sekadar info, Farid adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif (Seni Layar) UiTM selepas menamatkan pelajarannya pada tahun 2010.
Beliau terdahulu memiliki Diploma Seni Lakon Teater.