PELAKON dan penyampai radio, Sharifah Shahirah, kini menyambut fasa baharu dalam hidupnya sebagai seorang nenek.
Pada usianya 50 tahun, Shiera berkongsi kegembiraan apabila anak sulungnya, Allisya, selamat melahirkan seorang bayi perempuan seberat 3.25 kilogram pada jam 10 pagi, Jumaat lalu, di sebuah hospital swasta di Kuantan, Pahang.
Namun, apa yang benar-benar mencuri perhatian netizen adalah gaya unik Shiera mengumumkan berita gembira ini.
Bersama suaminya, Ijoy Azari, mereka tampil berpakaian ala penerima gelaran Datuk di istana lengkap dengan selempang kuning!
"Giliran kami pula dapat ‘datuk’ di hospital di Kuantan Pahang. Tahniah Datuk Ijoy. Selempang dah sama dengan jalan raya. ALLAH bagi rezeki jadi Datuk.
"Siapa suruh kahwin dengan aku. Dapatlah gelaran datuk. Orang lain ambil gelaran itu di istana, kami ambil di hospital,” tulis Shiera penuh jenaka dalam Instagramnya.
Perkongsian itu juga mengundang tawa dan ucapan tahniah daripada rakan artis serta para pengikutnya.
Meskipun nama penuh masih dirahsiakan, penyampai radio Suria FM itu telah memberikan nama timangan, Moana kepada cucu kesayangannya itu.
Menurut Shahirah atau Shiera, bayi comel itu dilahirkan lebih awal daripada jangkaan pada awal tahun depan, namun atas nasihat doktor, pembedahan perlu dilakukan segera demi keselamatan ibu dan bayi.
Sebagai info, Allisya, 26, merupakan anak hasil perkahwinan pertama Shiera dengan Jatt Black Dog Bone, manakala bersama Ijoy, pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata, Airel,20, Airra,17, Audra,15, dan Adeena,8.
Tahniah buat keluarga besar ini atas kelahiran ahli baru, si kecil Moana!