'Nak buat jahat tak perlu tunggu lepas kahwin...' Utamakan keluarga, saling memahami kunci bahagia Satcy & Akim

Iklan

KELINCAHAN beliau beraksi dengan gerak tarian di atas pentas sering meraih perhatian ramai. Sementara vokalnya yang mantap memang tidak perlu dipertikai lagi.

Sejak membuat kemunculan dalam industri hiburan tanah air, bintang kelahiran Negeri di Bawah Bayu, Stacy Anam sering mencuri perhatian khususnya pencinta muzik di Malaysia.

Iklan
Iklan

Susuk tubuh kecil, namun jiwa muziknya cukup besar. Mempunyai bakat luar biasa, Stacy sangat sinonim dengan lagu-lagu rancak dan bertempo laju.

Maka, tidak hairanlah jika dirinya yang pernah dinobat juara program realiti Akademi Fantasia (musim keenam) pada tahun 2008. Biarpun sudah enam belas tahun berlalu, namun beliau masih gah di persada seni.

Iklan

Terbaharu, penyanyi Kisah Dongeng itu mengukir satu lagi pencapaian. Bersama suami tersayang, Akim Ahmad, pasangan itu mencipta dan menulis lagu bersama.

"Lagu Menyala dicipta bermula daripada siulan melodi yang mempunyai dua penyampaian perasaan berbeza. Pada awalnya ia lebih lembut dan seterusnya bertukar ke unsur rock yang lebih bertenaga.

Iklan

‘Terjemahan liriknya pula dihasilkan melalui feel melodi lagu tersebut dan dihabiskan dalam satu cerita," ujar Stacy memulakan bicara awal bersama SinarPlus baru-baru ini.

Menurut beliau, lagu tersebut merupakan sebuah lagi karya hebat nukilan Bunga Cantik serta Hang Nadim dan Menyala diterbitkan secara kerjasama oleh tiga syarikat rakaman iaitu Sony Entertaiment Malaysia, Alternate Records serta Rhythm & Rhyme Entertaiment.

"Apabila mula menghasilkan karya muzik saya sendiri, perasaan yang timbul itu adalah jauh lebih mendalam dan penuh bermakna, terutama setiap lirik dan melodi yang dicipta.

"Ia seolah-olah menceritakan sebuah kisah yang hanya saya dan jiwa sendiri dapat rasakan. Begitu berbeza rasanya apabila saya dapat mengungkapkan perasaan dalam bentuk lagu yang datang dari hati naluri sendiri.

"Kenapa baru sekarang saya mahu buat lagu sendiri? Jawapannya, kerana hanya dengan lagu sendiri, saya dapat betul-betul fahami apa yang ingin diluahkan dan disampaikan kepada peminat," ungkap Stacy yang mengakui dapat melihat muzik dari sudut yang lebih menyeluruh.

Cerita hidup

Pelantun lagu Pelangi Senja itu menjelaskan, beliau bukan hanya menceritakan kisah orang lain, sebaliknya turut menyajikan cerita hidupnya, pengalaman dan perasaan beliau.

"Saya lebih memahami apa yang saya mahu sampaikan melalui lagu-lagu tersebut. Bukankah ini magis? Ia bukan hanya berlaku pada pendengar, tetapi pada saya juga.

"Setiap kali mendengar lagu yang saya hasilkan, ada sesuatu yang lebih mendalam, seolah-olah ia memberi kekuatan kepada diri untuk terus maju dan berkarya,"ujarnya.

Bicara kami kemudiannya dilencongkan kepada statusnya sebagai isteri dan juga ibu.

Ibu kepada tiga cahaya mata yang bakal mengadakan konsert solo di Sabah pada Jun tahun depan mengakui, keluarga adalah keutamaan buat dirinya.

Lantaran itu, kepada tuan punya badan penulis ajukan kenapa kini sudah jarang berkongsi perihal anak-anaknya di media sosial.

"Dulu saya suka muat naik video tentang kehidupan kami, seperti memasak bersama anak-anak, namun kini berbeza. Bukan kerana tidak mahu, sebaliknya atas permintaan mereka sendiri.

"Lagipun mereka sudah besar dan masing-masing lebih inginkan privasi. Sebagai ibu, saya menghormati permintaan anak-anak. Saya bukan sahaja penyanyi, tetapi juga seorang ibu yang ingin memberikan yang terbaik untuk mereka,"ungkap pemilik nama sebenar Ummu Shaikhah Stacy Anam.

Bahkan, kesibukan sebagai anak seni tidak menghalang komposer dan penulis lirik yang dikenali sebagai Bunga Cantik itu untuk‘mencuri‘ masa untuk bersama anak-anaknya.

Jika keluarga lain memilih waktu tertentu untuk bercuti sekeluarga, namun Stacy dan Akim punya pendekatan berbeza.

"Masa saya memang terhad. Dengan jadual yang padat, membuatkan kami tak punya masa untuk bercuti. Sebab itu, apabila mendapat mana-mana tawaran mengadakan persembahan, kami akan bawa anak-anak bersama.

"Pada saya, menyanyi adalah karier namun keluarga paling utama dan waktu itu akan cuba untuk menikmati masa bersama.

"Mujurlah anak-anak memahami dan baik saya mahupun Akim akan cuba mencari waktu yang berkualiti, walaupun kadang-kadang terpaksa menggugurkan beberapa aktiviti lain," jelas penerima Anugerah Darjah Kinabalu (ADK) sempena ulang tahun Yang DiPertua Negeri Sabah (TYT) Tun Juhar Mahiruddin yang ke-71 baru-baru ini.

Jejak langkah Ditebak persoalan apakah beliau dan Akim ibu bapa yang sporting seandainya anak-anak mahu mengikut jejak langkah mereka dalam bidang berkenaan, ini jawapan Stacy:"Baik saya mahupun Akim, kami tidak pernah paksa atau larang untuk mereka ikut jejak langkah sebagai penyanyi dan sebagainya.

"Cuma saya selalu ingatkan mereka, jika mahu melangkah dalam bidang ini, mereka perlu tahu tujuannya dan bukan sekadar mengejar populariti atau glamor.

"Saya juga tidak mahu mereka merasai tekanan hidup seorang ibu yang bekerja dalam industri hiburan. Sementelah saya sudah melalui liku-liku tersebut, sebab itu kalau boleh, saya nak mereka menjalani kehidupan yang normal dan menikmati masa muda tanpa sebarang beban."

Pastinya tidak lengkap bercerita andai tidak diselitkan mengenai rumah tangga beliau dengan Akim Ahmad yang juga penyanyi kumpulan Akim & The Majistret.

Ujar Stacy, kunci kebahagiaan antara mereka berdua adalah saling memahami.

"Lumrah dalam berumah tangga, tidak ada yang sempurna, pasti akan melalui cabaran dan ujian. Namun, kami berdua saling menyokong antara satu sama lain.

"Bahkan, kami juga tidak mengubah diri demi memenuhi kehendak pasangan. Sebaliknya menjadi diri sendiri. Walaupun bergaduh tetapi tidur tetap satu katil,"seloroh Stacy lagi.

Ditanya tidakkah terdetik dihati akan secebis rasa curiga atau cemburu memandangkan suaminya itu punya ramai peminat wanita.

"Saya bersyukur kerana sepanjang enam tahun bersama dari berkawan sehingga bergelar suami isteri, apa jua cabaran kami dapat harungi bersama

"Kalau nak buat jahat atau salah, tak perlu tunggu sudah kahwin. Malah, dari dari luaran, kami pun sudah boleh meneka baik saya mahupun Akim sendiri jika salah seorang ada buat salah," dedah Stacy sambil tertawa kecil.

Menghargai diri Kepada penulis, anak kelahiran Penampang, Sabah itu sempat bercerita cara beliau menghilangkan tekanan dengan me time waima sekadar memasak atau menjahit.

"Me time bagi saya bukan sekadar berehat, tetapi memberi ruang untuk berfikir, mencipta, dan memberi perhatian pada diri sendiri. Ketika itu, saya berasa lebih tenang dan segar, bahkan waktu itulah idea-idea baru muncul," dedahnya lagi.

Menguak lagi sisi peribadi penyanyi versatil itu dengan memintanya berkongsi pengertian kecantikan pada pandangannya, Stacy hanya tertawa kecil.

"Apa itu cantik? Pada saya ia sesuatu yang sangat subjektif. Dulu saya sering berasa tidak cukup cantik, tetapi kini, saya belajar untuk menghargai diri sendiri. Malah, kecantikan seseorang bukan hanya tentang rupa semata-mata. Saya bersyukur dengan kurniaan Tuhan.

"Lagipun, saya bahagia dikeliling mereka yang memiliki aura positif dan setiap perjalanan hidup ini dengan pengalaman, dan momen yang tercipta menjadi hadiah yang tidak ternilai. Terima kasih Tuhan,"ulasnya lagi.