PELAKON dan pengarah berbakat, Syamsul Yusof, sekali lagi mencuri perhatian ramai dengan perkongsian penuh makna di laman media sosial miliknya.
Dalam satu video pendek yang dimuat naik di Instagram, Syamsul atau pemilik nama Mohd Syamsul Mohd Yusof memperlihatkan momen indah bersama anak bongsunya, Sumayyah, di lokasi penggambaran filem terbaharunya, Khawarij.
Dalam video itu, Syamsul dilihat memeluk erat dan mencium anak keduanya dengan penuh kasih sayang serta meluangkan masa melayan puteri kecilnya di set penggambaran.
Momen tersebut tidak hanya menggambarkan kemesraan hubungan ayah dan anak, tetapi juga menjadi bukti bahawa kasih sayang yang terjalin melangkaui kesibukan bekerja.
"Bergantung hanya pada ALLAH, seindah namamu wahai Sumayyah ku,” tulis Syamsul di ruangan kapsyen.
Pengarah filem box office seperti Munafik itu turut menyertakan tanda pagar #myheart, menandakan betapa pentingnya Sumayyah dalam hidupnya.
Warganet dan peminat turut membanjiri ruangan komen dengan ucapan sebak dan doa selain menyifatkan momen tersebut sebagai satu kenangan terindah dan inspirasi kepada hubungan keluarga.
"Sejuk hati tengok kasih seorang ayah kepada anak. Semoga Syamsul terus kuat dan bahagia.
"Betapa indahnya cinta ini. Semoga ALLAH terus limpahkan kebahagiaan kepada mereka,"tulis seorang peminat.