Muezza didik karakter, bangun jati diri kanak-kanak menerusi sukan memanah, sasar 100 cawangan & rancang bina kompleks sukan

Iklan

APA yang terlintas di fikiran anda bila menyebut tentang sukan memanah? Mungkin anda terbayang seseorang yang berdiri tegak dengan busur di tangan, menarik anak panah, dan kemudian melepaskannya dengan penuh ketenangan ke arah sasaran.

Namun, tahukah anda, di sebalik setiap tembakan anak panah itu, terdapat proses pembentukan karakter yang mendalam, terutama bagi generasi muda? Sukan ini lebih dari sekadar latihan fizikal; ia adalah sekolah kehidupan yang mengajarkan nilai disiplin, fokus, dan tanggungjawab.

Iklan
Iklan

Inilah yang diperkatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Muezza Education Group Sdn Bhd, Anas Izuan Azmi.

Menurutnya, memanah bukan hanya tentang mengejar sasaran, tetapi tentang membentuk generasi muda yang lebih matang dan berkarakter.

Iklan

Malah, sesi kelas memanah yang dilengkapkan dengan penjelasan setiap langkah mampu memberikan impak kepada makanan Rohani.

"Objektif utama Muezza adalah pembentukan karakter anak-anak. Ramai yang kini lebih banyak terlibat dengan gajet dan semakin kurang rasa hormat dan adab. Sukan ini dapat membantu membangunkan sahsiah yang lebih baik,” jelas Anas.

Iklan

Memanah mungkin kelihatan seperti sukan biasa, namun sebenarnya, ia penuh dengan pengajaran yang boleh membentuk disiplin dalam diri anak-anak.

Setiap sesi memanah di Muezza tidak hanya melibatkan teknik ‘tarik dan lepas’, tetapi juga penerapan nilai yang amat penting untuk perkembangan peribadi.

Bermula dengan langkah-langkah asas seperti grip (pegangan) dan hook (penempatan anak panah), anak-anak diajar untuk bergerak dengan tenang dan penuh fokus.

"Jika fikiran serabut, anak panah yang dilepaskan mungkin tak akan kena sasaran. Itulah kenapa memanah mengajar kita untuk menenangkan minda, kerana hanya dengan ketenangan kita boleh mencapai matlamat dengan tepat,” katanya.



Melatih emosi

Itulah sebabnya, setiap sesi latihan memanah bukan sahaja melatih tubuh, tetapi juga melatih fikiran dan emosi.

Dalam dunia yang serba pantas ini, memanah mengajarkan anak-anak untuk berhenti sejenak, bernafas dalam-dalam, dan memberi perhatian sepenuhnya kepada apa yang mereka lakukan—sebuah kemahiran yang sangat berharga dalam menghadapi kehidupan yang penuh cabaran.

Setiap anak panah yang dilepaskan adalah cerminan kepada karakter si pemanah. Ketenangan, disiplin, dan fokus yang dipraktikkan dalam memanah membentuk keperibadian yang lebih matang.

"Bukan sekadar dalam sukan, tetapi dalam kehidupan seharian juga, fokus akan membantu anak-anak untuk lebih bertanggungjawab dan berdisiplin,” tambah beliau lagi.

Setiap kelas di Muezza Education Group dihadkan kepada lima hingga tujuh pelajar sahaja. Ini memberi peluang kepada setiap pelajar untuk menerima perhatian sepenuhnya daripada pengajar.

Dengan pendekatan ini, anak-anak tidak hanya belajar teknik memanah, tetapi mereka juga diajar untuk mengasah diri mereka dalam setiap aspek kehidupan—bermula dari disiplin dalam latihan hingga tanggungjawab terhadap diri sendiri.

Sekadar makluman, Muezza Education Group, yang telah berjaya membuka 56 cawangan dalam tempoh kurang dari tiga tahun, terus berkomitmen untuk membentuk generasi yang lebih baik melalui sukan memanah.

Dengan sasaran membuka 100 cawangan menjelang tahun 2025, Anas yakin bahawa sukan ini akan memberikan impak yang besar kepada anak-anak di seluruh negara.

"Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Rakan Niaga Bersama pihak Muezza Education Group Sdn Bhd ini bertujuan untuk mengikat secara sah antara pihak kami dan 33 Rakan Niaga Muezza yang menggariskan objektif, niat dan rangka kerja umum untuk bekerjasama.

"Saya mensasarkan 10,000 pelajar akan menyertai sesi kelas memanah Muezza di cawangan seluruh negara pada tahun depan. Syukur matlamat melahirkan 100 cawangan telahpun tertunai dengan kerjasama ini,” tambahnya lagi.