KEHADIRAN puteri sulung yang diberi nama Raiya Nadine menambahkan lagi seri rumah tangga pelakon Raysha Rizrose dan suaminya, Nabil Jeffri.
Dalam satu hantaran di Insatgram, pelumba F2 itu sempat berkongsi nama yang dipilih buat si kecil.
"Jumaat, 27 Disember 2024, 5.24 petang. Lembaran baru dalam kehidupan kami berdua.
"Assalamualaikum dan selamat datang ke dunia yang indah, puteri kami yang mulia Raiya Nadine binti Muhammad Nabil Al Jeffri.
"Semoga kehidupan yang indah di hadapan dan sentiasa dilindungi ALLAH SWT," kongsinya.
Memuat naik foto bertiga yang pertama selepas proses kelahiran, Nabil mengakui emosinya tersentuh menyaksikan isteri tercinta bertarung nyawa bersalin.
"24 jam yang dipenuhi dengan emosi yang luar biasa bermula sejak air ketuban pecah dua minggu lebih awal dari hingga tarikh jangkaan bersalin
"Segalanya berlaku begitu pantas namun 24 jam terasa sangat lama.
"Tidak pernah mengalami sesuatu yang beremosi sebegini dalam hidup ini, melihat kesakitan dan perjuangan isteri dan mendengar tangisan pertama bayi kami serta kata-kata doktor"Alhamdulillah bayi selamat dan sihat!".
"1001 emosi saya hilang dan satu-satunya perkara yang saya dapat rasakan ialah air mata yang tidak henti mengalir. Syukur untuk semua doa dan pesanan baik, kami sangat terharu serta bersyukur," tulisnya.
Berita gembira Raysha bergelar ibu terdahulu dikongsikan kakak-kakaknya iaitu aktres Nelydia Senrose dan Uqasha Senrose.
Hantaran berkenaan menerima ucapan tahniah daripada rakan selebriti dan warga maya.
Untuk rekod, Raysha, 28, yang juga Dewi Remaja 2014/15 mendirikan rumah tangga dengan Nabill pada 22 Februari 2023 selepas dua bulan bertunang.
Raysha berkongsi kepada umum tentang kehamilannya pada September lalu.