PENGHIBUR terkemuka negara, Anita Sarawak memang ikon dan sukar di cari ganti. Kehilangannya dari radar dunia hiburan sejak tahun 2011 menjadi tanda tanya.
Khabar terbaharu mengatakan, pemilik nama Ithnaini Mohd Taib itu sedang menjalani kehidupan penuh privasi di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Menerusi perkongsian penulis lirik dan bekas wartawan hiburan, Roslen Fadzil, beliau berkongsi berita tentang pelantun lagu Lodeh Mak Lodeh dan Tragedi Buah Epal itu yang dikatakan sudah bersara dan menolak undangan mengadakan konsert.
"Hakikat ini kerana promoter berkenaan berhasrat menganjurkan sebuah konsert mega tribute buat komposer legenda, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan di Kuala Lumpur sekitar 2025.
"Lantaran Anita menjadi salah seorang bintang handalan yang turut tersenarai dalam kertas cadangan untuk beraksi dalam konsert mega itu bersama ramai lagi penghibur lain yang pernah digilap oleh Adnan.
"Anita pernah merakamkan lagu Cintamu Muzik Di Hatiku ciptaan Adnan daripada lirik karya Seri Bayu.
"Demi mendapatkan Anita, saya meminta bantuan adik angkat Anita, bekas wartawan Shuib Taib untuk menghubungi Anita dan suaminya Abang Mahathir di Las Vegas dengan harapan mereka akan bersetuju.
"Sesudah Shuib berjaya menghubungi mereka, akhirnya kami mendapat jawapan daripada abang Mahathir melalui WhatsApp.
"Hi Shuib. Terima Kasih kerana sudi menghubungi. Apabila saya memaklumkan kepada Kak (Anita) tentang pemergian Adnan dulu, beliau merasa begitu sedih, terkenangkan waktu beliau yang pernah dikongsi bersama salah seorang produser terbaik sepanjang zaman (Adnan).
"Harap kirimkan salam kami kepada ahli keluarga Adnan dan beritahu mereka bahawa mereka seharusnya berbangga dengan baka unik ayah mereka itu.
"Berhubung undangan persembahan itu, Kak ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas tanda ingatan terhadapnya.
"Bagaimanapun, seperti yang diketahui, beliau sudah pun bersara ke arah kehidupan yang berbeza, lebih privasi sekarang yang beliau sendiri lebih selesa.
"Jadi mohon sampaikan kemaafan kami kepada pihak penganjur dan kami amat menghargai segala tanda ingatan," kongsi Slen menerusi hantaran terbaharu di Instagram.
Pada tahun 2022, adik Anita, pelakon legenda, Noor Kumalasari memaklumkan penyanyi berusia 72 tahn itu bermastautin di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) dan menafikan kakaknya itu menghadapi masalah kesihatan.
Sekadar info, Anita merupakan anak tunggal kepada pelakon Datuk S Roomai Noor dan aktres Siput Sarawak.