SUDAH lama tidak muncul bersama, khabar angin tentang kemelut rumah tangga penyanyi Hafiz Suip bersama isteri iaitu Nureffy Jasreel Abdullah akhirnya terjawab.
Hafiz atau Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 35, mengesahkan mereka dalam proses perceraian.
Buat masa ini, beliau dan Nureffy sedang berunding tentang hak penjagaan cahaya mata mereka jika ditakdirkan tidak bersama lagi selepas ini.
"Kami masih suami dan isteri cuma tidak sebumbung disebabkan dalam proses cerai.
"Kami sedang berunding hak penjagaan anak-anak," katanya.
Memetik laporan portal hiburan tempatan, Hafiz juga memaklumkan hasratnya untuk menyelesaikan masalah rumah tangganya itu dengan baik tanpa ada campur tangan orang luar.
Penyanyi berasal dari Kuching, Sarawak itu juga berkata bersedia melepaskan isterinya jika sudah tiada persefahaman.
"Saya cuma nak selesaikan dengan cara yang baik tanpa ada gangguan daripada pihak-pihak yang lain.
"Cukup saya simpan sendiri perkara ini.
"Kalau dah memang kami sudah tiada persefahaman, saya akan lepaskan dengan cara baik.
"Tak mahu rumitkan keadaan, biarlah semuanya selesai cara baik jangan anak-anak jadi mangsa keadaan," jelasnya.
Terdahulu, Hafiz meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung rumah tangganya tanpa mengetahui cerita sebenar.
Sekadar info, pelantun lagu Awan Nano dan Bahagiamu Deritaku itu mendirikan rumah tangga bersama Nureffy pada 14 Mei 2016.
Mereka kemudian dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhammad Alkaf Zayne, 5.