7 hari hilang, mayat Wak Man ditemui reput selepas ziarah pusara isteri. Rupanya 27 tahun berbakti jaga suri hati sakit

Iklan

BARU-baru ini hebahan tentang kehilangan warga emas Mohd Sharip Basiron, 87, atau Wak Man tular di laman sosial.

Malah rakaman kamera litar tertutup menunjukkan kelibat terakhirnya berjalan berhampiran sebuah bengkel kereta juga ditularkan ke laman sosial pada ada hari kehilangan untuk mengesan keberadaan.

Iklan
Iklan

Operasi awal pencarian telah dimulakan oleh Jabatan Pertahanan Awam dan Jabatan Bomba dan Penyelamat menemui jalan buntu apabila hanya menjumpai selipar yang dipakai oleh mangsa di ladang kelapa sawit berdekatan.

Namun usaha seorang aktivis dikenali sebagai Jas Inanansad yang menyertai aktiviti pencarian Wak Man semalam berjaya menemukan lelaki itu.

Beliau yang berkongsi penstriman langsung menerusi laman sosial TikTok sebak selepas berjaya menemui jasad warga emas itu.

"Allahuakbar. Astagfirullah, al-Fatihah. Berada di depan mata saya. Tolong datang ke sini ya orang kampung.

Iklan

"Allahuakbar, sudah tiada," kata Jas dalam sebak selepas melaungkan azan.

MELAWAT KUBUR ISTERI

Iklan

Betapa pilunya pemergian Wak Man. Menurut anaknya, Romainor Firdaus Mohd Sharip, 38, si bapa itu sering melawat kubur ibu pada setiap pagi Jumaat.

Romainor berkata, bapanya seorang yang ceria dengan keluarga dan penduduk kampung walaupun menunjukkan gejala pelupa sejak beberapa bulan lalu.

"Sejak 27 tahun lalu, ayah mengabdikan diri menjaga ibu yang sakit sepenuh masa di rumah sehinggalah ibu meninggal dunia.

"Ayah ada penyakit kencing manis dan darah tinggi yang memerlukan pengambilan ubat.

"Sepatutnya 17 Januari ini dia ada temu janji doktor di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang,” katanya.

Tambah Romainor, walaupun sedih dan tidak menyangka akan menemui bapanya yang sudah tidak bernyawa, dia dan keluarga reda.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak yang tidak henti-henti mencari ayah sepanjang kehilangannya.

"Jenazah ayah disolatkan di Hospital Tanjong Karang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Simpang Tiga Jeram, jam 11.30 pagi,” katanya.

WANG BERTABURAN DI LOKASI

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata anggota Balai Polis Jeram menerima satu laporan daripada orang awam berkenaan penemuan satu mayat lelaki kira-kira pukul 8.14 malam.

Siasatan awal mendapati lelaki itu mempunyai masalah kurang daya ingatan dan kali terakhir dilihat pada pukul 3 petang, 3 Januari lalu.

Beliau berkata, lelaki warga emas itu tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri, namun beberapa keping wang kertas termasuk RM50, RM10 dan RM1 berterabur di sekitar lokasi kejadian.

Menurut Azaharudin, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

"Tiada sebarang kesan calar dan luka di anggota badan mangsa ditemui dan keadaan mayat mula mereput. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di talian 03-328 91222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sumber: Buletin TV3