'Nak tidur sebantal, tak mahu main telefon lagi...' Ibu kongsi perubahan sikap anak autistik sebelum tragedi lemas

Iklan

BERITA kehilangan seorang kanak-kanak autistik berusia tujuh tahun berakhir dengan tragedi apabila si kecil itu ditemukan di tebing Sungai Kedah dipercayai lemas.

Ketika ditemu bual media, ibu mangsa, Nuradila Azhar, 38 mendedahkan perubahan sikap anaknya itu sejak sebulan lepas apabila tiba-tiba menjadi terlalu manja dengannya.

Iklan
Iklan

Dedah wanita itu, Allahyarham Firash Daniel Muhammad Hafeez Ansle juga tidak lagi mengendahkan telefon yang selalu dipegangnya seperti selalu sebaliknya bermain dengan adik-beradiknya yang lain.

"Memang terasa perubahan sikap Firash itu sejak sebulan lepas. Bila malam dia nak tidur sebantal dengan saya, tidak seperti selalu dia akan tidur berasingan. Saya pun rasa berdebar-debar dan tertanya-tanya apatah lagi dia juga tidak mahu bermain dengan telefonnya lagi.

Iklan

"Saya cuba memikirkan yang baik-baik sahaja kemungkinan perubahan sikap itu adalah kerana dia sudah semakin dewasa,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Bercerita lanjut tentang kejadian yang meragut nyawa anak istimewa tersebut, beliau mula menyedari kehilangan Firash kira-kira pukul 5 petang semalam sebelum menemukan pakaian dan lampinnya di dalam longkang depan rumah mereka.

Iklan

"Saya tidak pasti pukul berapa Firash keluar dari rumah. Cuma pukul 5 petang, saya sedar dia sudah tidak ada sebelum terjumpa pakaian dan lampinnya di longkang depan rumah. Saya terus meminta bantuan mencarinya.

"Firash tidak pernah keluar dari rumah sendiri kecuali ditemani saya dan neneknya sebab dia tidak suka suasana yang bising-bising,” katanya.

Dalam pada itu, suri rumah berkenaan bersama suaminya, Muhammad Hafeez Ansle Abdullah, 37, reda dengan pemergian anak bongsu daripada empat beradik itu.

Tinggalkan petanda

Sementara itu, Fatimah Abdullah, 76 yang juga nenek saudara kepada arwah memberitahu kanak-kanak tersebut hiper tetapi suka menyendiri.

"Ketika kejadian dia berada di rumah bersama tiga beradik yang lain tetapi ketika abang ketiganya hendak ke surau untuk solat Asar, dia tidak perasan pagar rumah tidak ditutup rapat yang mungkin menyebabkan adiknya keluar.

"Tak lama kemudian baru mereka perasan adiknya tiada di rumah sebelum pakaian dan kasutnya ditemui di tepi longkang terletak tidak jauh di depan rumah.

"Firasat saya mengatakan mungkin dia tinggalkan pakaian dan kasut di situ untuk memberi petanda yang jasadnya ada di kawasan sungai itu," katanya.

Fatimah berkata, kebiasaannya dia sering melihat kanak-kanak itu keluar bersama ibunya menaiki motosikal malah keluarganya tidak pernah membenarkannya menghampiri sungai yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mereka.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Pumpong, Alor Merah selepas selepas urusan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Media sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki autisme berusia tujuh tahun dilaporkan hilang di rumahnya di Taman Tunku Tabor, Jalan Gangsa di sini petang semalam.

Sumber: Kosmo Online & Harian Metro