MEMULAKAN langkah awal dalam dunia seni usai membintangi iklan komersial. Atas dorongan seorang rakan, beliau mencuba nasib dalam uji bakat lakonan. Keputusan itu ternyata pilihan tepat yang membuka pintu besar buat pelakon, Sophia Albarakhbah ke dunia hiburan.
Berasal daripada keluarga berdarah kacukan yang unik yang mana ibunya seorang mualaf berketurunan Cina, sementara bapanya berdarah campuran Melayu dan Arab dari Kelantan satu bonus untuk beliau memiliki wajah jelita.
Malah, kecantikan semula jadi Sophia dengan kulit putih bersih dan senyuman yang memikat, rupa-rupanya diwarisi daripada sang ibu yang pernah memenangi anugerah dalam pertandingan kecantikan pada tahun 1980.
Pun demikian, empunya diri enggan bersandarkan rupa paras semata-mata, pembabitan beliau dalam industri turut diperkemaskan lagi dengan latar belakang pendidikan apabila memiliki segulung ijazah dalam bidang Bioteknologi dari Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU).
Bukan itu sahaja, beliau terus terbang tinggi sebagai anak seni apabila berjaya memenangi beberapa anugerah seperti Aktres Filem Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 pada tahun 2023.
Lebih membanggakan,tuan punya badan turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila memenangi Anugerah Pencapaian Luar Biasa dan Pelakon Wanita Terbaik di World Film Carnival Singapore pada tahun 2021.
Namun lumrah hidup, si cantik manis itu tidak terlepas dari terpalit dalam kancah kontroversi. Tahun 2024 mungkin penuh dugaan buat Sophia.
Justeru, beliau berazam supaya tahun 2025 ditempuhi dengan penuh berhati-hati.
"Sejujurnya saya tidak suka terbabit dengan kontroversi, tetapi kita kena pandai bawa diri dan belajar dari kesilapan.
"Cabaran yang hadir sebelum ini peluang untuk saya perbaiki diri. Kini fokus saya pada benda yang baik-baik sahaja,” jelasnya ketika ditemui SinarPlus dalam satu majlis baru-baru ini.
Terbaharu, pelakon yang bergandingan bersama hero Malaya, Remy ishak menerusi drama Marina yang kini sedang hangat ditayangkan di platform Tonton itu berkongsi pengalamannya mengenai kepercayaan yang dikhianati.
Enggan menyalahkan sesiapa sebaliknya apa yang berlaku menjadi pelajaran penting untuk dirinya lebih berhati-hati dalam memilih teman.
Rezeki terpijak
Malah, beliau turut mengambil langkah berhati-hati, terutama bila melibatkan orang yang suka bermuka-muka, nampak baik di depan mata, tetapi lain di belakang.
"Memang ada individu sebegini yang baik di depan tapi di belakang boleh jadi sangat berbeza. Walaupun tahu perangai individu tersebut, namun saya tetap layan baik tetapi pada masa sama, saya harap dia berubah dan sedar dengan perangai yang tidak elok itu. Segeralah berubah untuk jadi lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, Sophia bertekad untuk terus maju dan memperbaiki dirinya. Dengan pengalaman, kesabaran, dan azam yang kukuh, beliau berharap dikenali kerana kerjayanya, bukan kontroversi.
"Saya mahu orang hargai lakonan dan karya saya. Itu yang paling penting. Memang saya akui sebagai public figfure, ada sahaja mata-mata yang memandang.
"Walau apa yang saya buat sama ada betul atau salah tetap ada yang mengata Jadi, lebih baik saya jalan terus dan tak nak asyik memikirkan kata-kata orang lain," tegasnya.
Rezeki sepupu kepada penyanyi terkenal, Aisha Retno itu terbuka luas apabila baru-baru ini dilantik sebagai Duta Usanita Entertainment dan berkolaboratif bersama pelakon, Fattah Amin dalam drama arahan pengarah terkenal, Erma Fatima.
"Soal berlakon dengan mana-mana pelakon lelaki, pada saya bukan isu besar baik Fattah Amin dan sebagainya. Lagipun kami pernah bekerjasama sebelum ini,”ulas Sophia lagi.
Pelakon berkulit putih mulus itu turut berkongsi detik indah apabila menerima tawaran ke London menerusi projek bersama Usanita tersebut.
"Ibarat mimpi kerana sebelum ini memang saya ada keinginan nak ke London untuk bercuti, tapi kesibukan menyebabkan keinginan tersebut tertangguh.
"Justeru, tawaran Usanita ibarat rezeki terpijak bila mendapat peluang ke sana. Walaupun bukan untuk bercuti, saya tetap gembira kerana sudah biasa bekerja sambil bercuti. Tambah pula dapat bekerjasama dengan Erma, memang teruja,”ungkapnya dengan nada penuh rasa syukur.
Kepada tuan punya badan turut ditanya mengenai perihal peribadi sebagai selebriti yang sering ditagih segelintir peminat untuk dipaparkan di media sosial.
Mengakui dirinya seorang yang menghargai privasi, namun sedar status diri sebagai anak seni membuatkan beliau tidak lokek untuk berkongsi dengan peminat di luar sana.
"Saya sedar peminat nak tahu perkembangan selebriti. Sebab itu, saya cuba seimbangkan kedua-duanya.
"Bohonglah andai kata tidak penat, bila rasa itu muncul,saya cakap pada diri, rehat sekejap, boleh tak?”
"Namun, fokus utama peminat juga seharusnya pada hasil kerja dan bukan kontroversi atau hal-hal peribadi artis kesayangan mereka semata-mata," ujar Sophia lagi.
Minat sukan ekstrem
Bagi yang melihat beliau menerusi kaca televisyen mahupun media sosial pasti tahu sahaja perwatakannya yang lemah lembut dan sopan orangnya. Namun, mungkin ramai yang tidak tahu satu sisi tentang kecintaannya terhadap sukan berkuda.
Berkongsi lanjut, wanita berusia 31 tahun itu mendedahkan, beliau turut menjalankan perniagaan barangan berkuda bersama-sama kakaknya.
"Mungkin orang tengok penampilan lemah-lembut, tapi sebenarnya saya meminati sukan ekstrem.
"Kalau diikutkan, memang sebelum ini pernah jatuh, tapi peristiwa tersebut tidak membuatkan saya trauma. Bahkan, saya tidak serik untuk menunggang kuda lagi.
"Selain itu, saya turut membuka bisnes peralatan berkuda bersama kakak. Kata orang kalau kita buat ikut minat, ia lebih bermakna dan bersemangat, kan,” kata beliau yang turut berhasrat menceburi bisnes makanan dan minuman suatu hari nanti.
Bukan hanya berkuda, anak kedua dari empat beradik itu juga gemar meneroka dalam pelbagai bidang termasuklah bab berpakaian dan solekan.
"Memang orang sering lihat penampilan saya lebih kepada feminin, namun, saya juga penggemar gaya jalanan dan sebagainya.
"Demikian juga dalam bab mencantikkan diri. Ada masanya saya bereksperimen bersama jurusolek untuk lihat gaya mana yang sesuai supaya tidaklah asyik sama sahaja untuk setiap majlis,” kongsi Sophia yang gemar membaca dan melukis untuk mencari inspirasi baharu.
Sebelum melabuhkan tirai perbualan, Sophia yang gemar duduk di rumah berbanding lepak di luar turut ditanya pandangan beliau tentang tanggapan segelintir individu kononnya wanita cantik punya ramai pesaing dan itu membuatkan mereka sukar mendapat kawan baik.
Ini reaksi tuan punya badan:
”Saya tak pernah anggap kawan-kawan wanita pesaing walaupun semuanya cantik-cantik belaka. Bahkan, saya suka tengok mereka, rasa gembira dan bangga bila dapat berkawan dengan orang cantik,” katanya sambil tersenyum manis.