PEMPENGARUH Andika Putera kembali bergelar suami dalam satu upaacara akad nikah baru-baru ini.
Berkongsi video akad nikah dan persandingan, usahawan yang semakin tular dengan komuniti Old Money itu dan suri hatinya memakai busana pengantin serba putih rekaan Kashfi Zulkufli.
Menerusi hantaran terbaharu di Instagram, hari bahagia Andika atau nama lengkapnya Muhamad Andika Putera Salleh, 29, turut dihadiri anak perempuannya, Alisha Puteri.
Malah dalam acara memotong kek, isterinya sempat menyuapkan manisan tersebut kepada si kecil itu.
Bagaimanapun, Andika dilihat tidak mendedahkan wajah isteri baharunya apabila keseluruhan video disunting tidak menampakkan sosok wajah wanita berkenaan.
Menerusi ruangan komen, warganet tidak ketinggalan mengucapkan tahniah dan menitipkan doa kebahagiaan pasangan mempelai.
Ujar mereka:
"Alhamdulillah. Tahniah Andika Putera moga bercinta sampai syurga."
"Tahniah, moga berbahagia hingga ke syurga."
"Semoga ikatan dan kasih sayang antara kalian berdua berpanjangan."
Menerusi laman sosial jurusolek terkenal, Effa Ghazali, video memaparkan wajah isteri Andika yang dikatakan bertugas sebagai pegawai perubatan.
Sekadar info, Andika terdahulu bercerai dengan personaliti media sosial Ananda Natasha selepas empat tahun berumah tangga.