ISU serangan ke atas pelakon Bollywood, Saif Ali Khan menjadi perhatian ramai.
Isterinya, Kareena Kapoor Khan bagaimanapun meminta agar tiada spekulasi timbul susulan tragedi menimpa hero Dil Chahta Hai dan Love Aaj Kal itu.
"Ia adalah hari yang sangat mencabar untuk keluarga kami, dan kami masih cuba memproses peristiwa yang telah berlaku.
"Dalam mengharungi masa yang sukar ini, saya dengan hormat dan rendah diri meminta agar media dan paparazi mengelak daripada spekulasi dan liputan yang tidak henti-henti.
"Walaupun kami menghargai keprihatinan dan sokongan, penelitian dan perhatian yang berterusan bukan sahaja memberangsangkan tetapi juga menimbulkan risiko besar kepada keselamatan kami," titipnya.
Pelakon Kabhi Khushi Kabhie Gham itu juga memohon beliau dan keluarga diberikan ruang dan peluang melalui saat yang sukar ini.
"Saya memohon agar anda menghormati sempadan kami dan memberi kami ruang yang kami perlukan untuk menyembuhkan dan mengatasi sebagai sebuah keluarga.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih terlebih dahulu atas pemahaman dan kerjasama anda pada masa yang sensitif ini,"kongsinya.
Saif terdahulu cuba menghalang penceroboh daripada melarikan diri telah bergelut dengannya dan diserang dengan objek tajam hingga menyebabkan enam tikaman.
Pelakon Hum Saath-Saath Hain dan Kal Ho Naa Ho itu dibawa ke hospital oleh anaknya, Ibrahim Ali Khan dan seorang lagi pembantu kira-kira jam 3.30 pagi.
Lebih membimbangkan, dua daripadanya agak dalam. Salah satunya yang agak parah berdekatan dengan tulang belakang yang memerlukan pembedahan untuk mengeluarkan pisau sepanjang 2.5 inci.
Sekadar info, Saif merupakan bapa kepada empat cahaya mata. Berkahwin dengan Kareena pada tahun 2012, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Taimur Ali Khan dan Jeh Ali Khan Pataudi.
Saif terdahulu mendirikan rumah tangga dengan pelakon Amrita Singh pada 1991 namun berpisah pada 2004.
Hasil perkongsian hidup, mereka memiliki sepasang cahaya mata iaitu Sara Ali Khan dan Ibrahim Ali Khan.