INDIVIDU orang kurang upaya (OKU) tular yang menjadi mangsa penganiayaan dalam insiden di sebuah pasar tani di Kemaman, Terengganu baru-baru ini, menerima tajaan pakej umrah daripada syarikat pengendali umrah, Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd.
"Alhamdulillah, Pengurus Wilayah Travel and Tours Sdn Bhd, Syahirah dan juga pegawai agama Ustaz Luqman sudah selesai menziarahi Faridah Abdul Karim yang merupakan isteri kepada Ahmad Nor Al Faizan Jusoh di Kampung Mak Chili, Chukai, Terengganu.
"Untuk makluman, beliau (Ahmad Nor Al Faizan) kini di rawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu dan dalam pemantauan doktor. Pelawat tidak dibenarkan untuk melawat buat masa ini.
"Alhamdulillah, hasrat Tuan Haji Ibrahim untuk menaja pakej umrah untuk keluarga ini sudah disampaikan. Masya-ALLAH, mereka sangat gembira dan bersyukur atas rezeki ini. Terima kasih Tuan Haji dan Pengurusan Andalusia, barakallahufikum!,"ujar sumber berkenaan.
Sempat berkomunikasi dengan Faridah menerusi panggilan video, Ibrahim berkata, semoga pakej yang ditawarkan akan merawat kesedihan keluarga itu.
"Saya Haji Ibrahim dari Andalusia amat simpati dengan kejadian. Saya berhasrat untuk menghantar isteri dan seorang anak lelakinya ke Makkah untuk menunaikan umrah. Semoga di sana akan terubat hati," kongsinya pada ruangan komen.
Warga maya dalam pada itu mendoakan agar perjalanan keluarga itu ke Tanah Suci berjalan lancar.
Tidak kurang yang tersentuh dengan kata-kata Ahmad Nor Al Faizan ketika di belasah iaitu 'tak mengapa ALLAH ada.'
"Ingat lagi kata-kata aboh takpe ALLAH ada. Ya hari ini ALLAH serta merta angkat darjat aboh dan famili."
"Masya-ALLAH, begitu sahaja ALLAH angkat darjat mereka dan menjadi tetamu-NYA."
"Hikmah di sebalik kejadian yang menimpa ALLAH limpahkan rezeki buat abang OKU sekeluarga."
"Hikmah kejadian dan ALLAH campakkan kesabaran kepada isteri dan keluarganya. Allahuakbar, moga yang baik-baik dan dipermudah perjalanan ke sana."
"Rahmat di sebalik kedukaan. Terima kasih orang baik."
Terdahulu, lelaki ketidakupayaan mental itu dibelasah beramai-ramai selepas dikatakan terbabas dan terlanggar salah satu gerai penjaja di sebuah pasar tani.
Video berdurasi 1 minit 52 yang memaparkan kejadian bertebaran di laman sosial menyaksikannya dibelasah, disepak, dipijak dan diheret di tapak pasar tani.
Setakat ini enam individu ditahan berhubung siasatan kes berkenaan
Keeenam-enam mereka yang berusia antara 18 hingga 60 tahun manakala kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Sumber: TikTok