'BILA saya nak cium, ada suara yang katakan tak boleh (cium).'
Demikian ungkap pelawak Saiful Apek mendedahkan detik-detik menyedihkan terbongkarnya rahsia keluarga akhirnya terbongkar ketika beliau dilarang mencium jenazah ibunya, Jahindun Sahin.
Menerusi satu sesi temu bual bersama Dol’s Podcast, pemilik nama Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, 55, itu mendedahkan dirinya terkejut menerima kenyataan status anak angkat kepada keluarga itu.
Menurut pelakon Jutawan Fakir dan KL Menjerit itu, dirinya diambil oleh ibu angkat ketika berusia kurang daripada seminggu.
"Bila saya nak cium tu, ada suara yang berkata tak boleh.
"Kematian mak adalah sesuatu yang mengejut. Ketika itu umur saya 21 tahun.
"Saya rasa macam mimpi, orang cakap tak boleh cium sebab bukan mahram.
"Saya tak sempat disusukan kerana ibu angkat saya tak pernah dan tak boleh untuk melahirkan.
"Tapi saya tidak peduli, saya tarik dan cium juga," tutur Saiful.
Warga maya tersentuh dengan perkongsian berkenaan dan berkongsi butiran lanjut mengenai situasi berkenaan.
Tidak kurang yang berkongsi pendedahan status sebagai anak angkat masing-masing.
"Batal wuduk semasa hidup sahaja, tidak terbatal wuduk dengan orang dah meninggal."
"21 tahun, lama juga rahsia disimpan. Saya masih menyimpan selama tujuh tahun dan berfikir waktu yang sesuai untuk maklumkan. Aku sebagai ibu yang tidak bersedia."
"Saya pernah berada di dalam situasi ini dan memang 'koyak.' Tapi tak mengapalah, semoga arwah ayah tenang di sana.
Menurut Jabatan Mufti Selangor, anak angkat tidak dianggap sebagai mahram kepada keluarga angkat termasuk ibunya.
Oleh itu aurat anak angkat adalah sama seperti aurat bukan mahram iaitu keseluruhan anggota badan kecuali muka dan kedua tapak tangannya bagi perempuan dan dari pusat ke lutut bagi lelaki walaupun dengan bapa atau ibu angkatnya.
Sumber: TikTok