PERSEMBAHAN hebat atas kapal mewah Genting Dream Cruise, Tomok dan Siti Nordiana berjaya menghiburkan 600 peminat bertempat di Zodiac Theater Isnin lepas.
Acara pembuka persembahan eksklusif Live Music @ Sea itu dimulakan dengan nyanyian Siti Nordiana yang lebih mesra disapa Nana mendendangkan lagu Benang Emas. Selain itu, Nana juga turut menyanyikan lagu popular beliau yang lain seperti Cinta Hanya Sandaran, Hatiku Milikmu dan Terus Mencintai.
"Saya pernah naik kapal ini tetapi sebagai penonton di Zodiac Theater tapi kali ini berbeza sebab dapat buat persembahan. Macam impian jadi kenyataan sebab dapat ‘perform’ di tengah lautan.
"Macam sesuatu yang ‘rare’ (tak pernah dibuat) sebelum ini. Saya sendiri tak sangka sambutan daripada peminat sangat menggalakkan.
"Pada mulanya agak risau juga sebab yang datang daripada pelbagai bangsa. Tapi alhamdulillah, mereka ‘faham’ lagu-lagu leman saya dan Tomok,” kata Nana persembahan di atas kapal Genting Dream bagaikan impian yang akhirnya menjadi satu kenyataan.
Dalam pada itu, Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail muncul dengan menyanyikan lagu Rockstar Junior yang pernah didendangkan dengan anak lelakinya, Arrian dan Andra. Selain itu, Tomok juga tidak ketinggalan menyanyikan lagu popular beliau Sejarah mungkin Berulang, Meranung dan Hanya Tinggal Sejarah.
"Sejujurnya, saya tak jangka persembahan ini jadi besar tetapi tengok menghampiri full house juga. Tenaga daripada audiens buat saya terkejut. Alhamdulillah, kita dapat respons yang baik daripada mereka yang hadir.
"Pengalaman pertama buat persembahan atas kapal persiaran yang besar di depan ramai orang yang hadir membuatkan saya betul-betul gembira,” kata Tomok.
Malam itu juga, Tomok dan Nana buat pertama kalinya berduet menyanyikan lagu yang pernah dipopularkan oleh Nana bersama Allahyarham Achik Spin, Memori Berkasih, Paling Comel dan lagu terbaharu mereka, Memori Mungkin Berulang.
Selain menyaksikan persembahan istimewa berkenaan, peminat juga menikmati pengalaman percutian yang menggabungkan pelayaran dua malam bermula di Singapura menuju Melaka dan kembali semula ke Singapura pada 19 hingga 21 Januari lalu di atas kapal persiaran tersebut.