SETIAP wanita yang menjalinkan hubungan pasti mengimpikan untuk melangkah ke jenjang pelamin bersama pasangan, terutama apabila hubungan itu telah berlangsung bertahun-tahun.
Namun, tidak semua kisah cinta berakhir dengan indah.
Baru-baru ini, tular kisah seorang wanita di Mamuju Tengah, Sulawesi Barat selepas dia bertindak di luar kawalan dengan mengamuk dan mencederakan teman lelakinya, Rian, kerana kecewa lamaran dari pihak lelaki tidak kunjung tiba.
Wanita yang dikenali sebagai AB dilaporkan mendatangi rumah kekasihnya di Dusun Tallungallo, Desa Tabada, Kecamatan Tobadak, pada hari Rabu lalu sambil membawa sebilah parang.
Menerusi video yang tular, AB dilihat merosakkan segala perabot di rumah serta motosikal yang diparkir di halaman.
Dalam keadaan marah, wanita berusia 30 tahun itu secara tidak langsung mencederakan lutut kekasihnya sehingga menyebabkan luka dan mengalami lebam-lebam di badan.
Rian yang kini berusia 26 tahun menjelaskan teman wanitanya mendesak agar segera melamarnya dan memberi amaran bahawa ada lelaki lain yang sanggup menikahi AB.
Namun, Rian mengakui bahawa dirinya belum bersedia dari segi kewangan kerana tidak mempunyai simpanan mencukupi, ditambah lagi dengan beban hutang yang dialaminya.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila Rian menidakkan bahawa selama ini AB telah meminjamkan wang kepadanya, yang menjadi salah satu sebab pergaduhan mereka semakin tegang.
Kisah itu mencetuskan perdebatan hangat di media sosial, dengan sebahagian netizen berpendapat bahawa wanita tersebut seharusnya bersikap lebih bijak dan mencari pasangan yang lebih bertanggungjawab serta stabil.