PENGALAMAN sekumpulan pendaki gunung ini pasti tidak akan dapat dilupakan selamanya apabila kegembiraan mereka bertukar sadis setelah menemui sekujur tubuh wanita yang tidak lagi bernyawa.
Berdasarkan keadaan mangsa pada ketika itu, polis mengesahkan ia telah berada di situ lebih kurang tiga minggu dari tarikh ditemui.
Mangsa ditemui dalam keadaan menyayat hati kerana tidak lengkap berpakaian dan berada di anak sungai di Taman Negara Yorkshire Dales, England.
Itu peristiwa yang berlaku pada tahun 2004. Lebih memilukan, siasatan awal polis gagal mengesan identitinya kerana tiada barangan peribadi ditemui.
Bedah siasat yang dijalankan juga gagal menentukan bagaimana beliau meninggal dunia. Tiada tanda-tanda keganasan dan bagaimana mangsa menemui ajal.
Pihak berkuasa gigih membuat pencarian di seluruh negara termasuk ke negara-negara Asia kerana wajah wanita tersebut dipercayai seperti berasal dari China, Filipina mahu pun Korea. Namun, usaha tersebut tidak membuahkan hasil.
Mayat wanita itu kemudiannya dikebumikan oleh warga setempat dan dinamakan sebagai Lady of the Hills.
Kisah tersebut tidak berakhir di situ. Pada tahun 2016, kes berkenaan dibuka semula apabila pihak berkuasa merasakan kematiannya meragukan dan mereka mengenal pasti punca kematian wanita tersebut mempunyai kaitan dengan pembunuhan.
Tiga tahun selepas siasatan dibuka semula, sebuah keluarga muncul dan mengatakan mangsa mungkin adalah anaknya. Berdasarkan ujian DNA yang dilakukan, wanita yang dikenal pasti sebagai Lamduan Armitage warganegara Thailand adalah anak mereka yang telah terputus hubungan sejak 2004 selepas berkahwin dengan lelaki warganegara England pada tahun 1991.
Sebelum kehilangannya, Lamduan sempat pulang ke Thailand berjumpa ibu dan ayahnya sebelum pulang semula ke pangkuan suaminya kerana ingin mengambil anak-anak untuk dibawa pulang namun kerana masalah kewangan dan tidak cukup tambang penerbangan maka dia menangguhkan dulu kepulangannya. Itulah kali terakhir keluarga Lamduan beretemunya sebelum hilang tanpa berita.
Selepas 20 tahun kematian mangsa, siasatan mendalam membawa kepada penemuan suaminya, David Armitage, 62 tahun, yang pada ketika itu masih berada di Kanchanaburi, Thailand.
David berjaya ditahan pada 25 Januari 2025 di rumahnya sebelum dibawa ke pusat tahanan imigresen Bangkok kerana visanya telah tamat tempoh.
Ia menjadi satu kehairanan kepada pihak polis kerana suami mangsa langsung tidak membuat laporan polis tentang kehilangan isterinya.
Malah, Lamduan sebelum itu pernah memberitahu keluarganya bahawa suaminya itu bertindak kasar ke atasnya, beberapa kali mengalami keguguran, mempunyai masalah kewangan keluarga hingga terpaksa menjual rumah mereka dan suaminya selalu mengabaikan kebajikan beliau seperti tidak memberi duit belanja.
Disebabkan visanya sudah tamat tempoh, maka David akan dibuang keluar dari negara Thailand dan boleh memilih untuk tinggal di mana-mana negara yang dikehendakinya. Sudah semestinya beliau tidak mahu pulang ke England kerana jika ke sana pastinya dia akan ditahan oleh pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
Suspek bagaimanapun menafikan dia membunuh isterinya namun pihak berkuasa England tidak berputus asa mencari jalan untuk memastikan tertuduh dibawa ke muka pengadilan.