KURANG daripada 24 jam, nama pelawak terkenal Along Cham kembali menjadi perhatian dunia hiburan apabila dikhabarkan bakal menfailkan dan melafazkan cerai taklik terhadap isterinya.
Menurut laporan Kosmo, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad dijangka menfailkan pengesahan cerai taklik tersebut pada pukul 11 pagi tadi.
Namun, suami kepada Afreena Suhaimi itu tiba lewat di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya sekitar jam 11.45 pagi.
Kelibat pelakon berusia 42 tahun itu dilihat hadir sambil ditemani ibu tercinta, yang menjadi sumber kekuatannya dan berharap segala urusan berjalan lancar.
"Bagi saya jumpa pihak sepatutnya dahulu, kemudian saya akan beri maklum balas. Doakan segalanya dipermudahkan.
"Saya datang dengan syurga (ibu). Lewat sikit tadi sebab bawa ibu pergi sarapan dulu.
"Alhamdulillah, saya juga dalam keadaan sihat hari ini," ujarnya dengan tenang.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran beberapa hari lalu, Along kelihatan tabah menghadapi situasi ini.
Untuk rekod, semalam, Mahkamah Sesyen Sepang telah melepaskan Along tanpa membebaskan (DNAA) daripada satu pertuduhan berkaitan pemilikan dadah disyaki kanabis.
Pelakon Adnan Sempit itu turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan melibatkan pemilikan dan penggunaan dadah.
Hakim membenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 sementara menunggu perbicaraan.
Sekadar info, Along Cham mendirikan rumah tangga bersama Afreena pada 4 April 2024.
Sebelum itu, Along pernah berkahwin dengan bekas peserta Akademi Fantasia, Zila Seeron, pada Januari 2010 sebelum berpisah pada Ogos 2016.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, yang kini berusia 14 tahun.