KISAH lelaki kurang upaya ( OKU) yang dibelasah dan wajah disimbah mi goreng Januari lalu pastinya meninggalkan kesan hitam dalam diri mangsa dan ahli keluarganya.
Tragedi itu telah mendapat liputan meluas apabila video dirinya dipukul beberapa individu termasuk diseret tular di media sosial.
Mangsa yang dikategorikan sebagai OKU ketidakupayaan mental turut diheret selepas motosikal yang ditunggangi terlanggar gerai menjual makanan di pasar pagi di Kemaman, Terengganu.
Memetik laporan Harian Metro, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh mendedahkan punca dipukul sehingga mengalami kecederaan di beberapa bahagian muka dan badan.
Iklan
Iklan
"Tanya orang yang tendang motosikal saya itu, dialah punca motosikal saya terbabas dan terlanggar gerai mi goreng itu," katanya.
Ujar lelaki berusia 47 tahun itu, sebelum kejadian beliau melalui kawasan itu dalam perjalanan menghantar nasi minyak yang dikirim seorang rakannya.
"Saya menunggang motosikal meninjau jualan peniaga di situ dan ketika pusingan kali ketiga, tiba-tiba ada orang tendang motosikal saya dari belakang.
"Ketika terjatuh, saya dipukul ditendang, diheret dengan teruk dan sampai hari ini saya tertanya-tanya mengapa mereka memukul saya sebegitu rupa," kongsi beliau.
Paling menyedihkan, bila mana wajahnya dihumban atas mi goreng di atas jalan.
"Saya rayu jangan pukul kerana tidak sengaja dan mereka sepatutnya cari siapa yang tendang motosikal saya," katanya.
Ahmad Nor Al Faizan mengakui, ketika dipukul beliau beberapa kali merayu kesakitan akibat dipukul dan memohon maaf serta memberitahu ingin menggantikan kerugian peniaga mi goreng itu.
"Namun rayuan saya itu tidak diendahkan dan terus terus dipukul dengan teruk.
"Ketika dihumban ke atas mi goreng yang tumpah di atas jalan itu, saya menahan nafas dan cuba menahan muka dengan tangan kerana pedih terkena mi goreng sebelum seorang individu curah mi goreng atas kepala saya," katanya.
Keadaan itu menyebabkan matanya sangat pedih dan meminta air untuk membasuh muka sebelum sekali lagi kepalanya disepak.
"Perbuatan mereka sangat kejam, sepatutnya perkara itu boleh dibincang secara baik dan saya bersedia membayar kerugian yang dialami mereka.
"Peristiwa itu juga meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada saya termasuk isteri dan anak-anak," katanya.
Untuk rekod, sebelum ini tular video di media sosial memaparkan lelaki OKU berkenaan dipukul beberapa individu dalam kejadian di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, Terengganu.
Mangsa dilihat diseret di atas jalan serta ditendang di bahagian badan dan kepala mengakibatkan kecederaan pada muka.
Susulan itu polis menerima laporan berhubung insiden itu dan siasatan kini sedang dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.