SEBAK! Demikian perasaan ibu, Chikazor Ogochukwu Ejezie, yang terpaksa menerima kenyataan kehilangan tiga orang anak sekali gus.
Meninggalkan sebentar dua puteri yang berumur sembilan dan tujuh tahun serta seorang putera berusia tiga tahun di rumah untuk menghadapi peperiksaan di Ihiala, kira-kira 70 kilometer dari rumah, siapa sangka ia adalah momen terakhir melihat Chikazor melihat ketiga-tiga mereka bernyawa.
"Saya tinggal tiga anak saya untuk pergi ke gereja menghadapi peperiksaan, apabila saya kembali, hanya melihat mayat," katanya.
Memetik laporan BBC, ibu muda dari Nnewi Anambra, Nigeria itu berkata sekembalinya, beliau tidak melihat mana-mana bahagian kediamannya diceroboh atau terbuka.
Selepas pulang pada tengah hari dan sempat berehat sebentar, Chikazor yang beranggapan tiga anaknya keluar bermain mengharapkan mereka kembali ke rumah, tetapi hingga ke petang tiga beradik itu tidak kunjung pulang.
"Saya menghubungi rakan namun mereka berkata anak-anaknya sendiri tidak pergi gereja pada hari itu.
"Saya bertanya sama ada anak-anak saya yang tinggal di rumahnya, dia kata tidak," katanya.
"Salah seorang jiran saya memberitahu telah melihat dua orang pemuda berlegar-legar di kawasan kejiranan pada pagi itu dan melihat anak perempuan saya keluar membeli sesuatu dan pulang ke rumah," katanya.
Cemas tiga cahaya mata tidak ditemui sejak tengah hari, keluarga dan rakan mula mencari tiga kanak-kanak berkenaan.
Misi pencarian gagal sehinggalah peti sejuk beku (deep freezer) di dalam rumah wanita itu dibuka dan tiga tubuh anak kesayangan ditemui di dalamnya!
Sementara itu, bapa kanak-kanak berkenaan yang juga suami Chikazor, Samuel Ejezie turut menzahirkan rasa pilu kehilangan cahaya mata dalam keadaan tragis.
Samuel mencari tuan rumah sewa mereka yang tinggal berhampiran namun tiada di rumah pada hari kejadian.
Malah pelajar kejururawatan yang merupakan jiran mereka juga dikatakan tidak mempunyai kaitan dengan kejadian ngeri itu.
Sehingga kini, empat hari selepas kejadian pihak berkuasa terus menyiasat secara menyeluruh bagi membongkar kebenaran di sebalik kematian misteri itu.
Sumber: BBC News Pidgin