TRAGIS dan memilukan! Demikian yang boleh diungkapkan kepada kes kematian seorang pelajar yang dibunuh oleh gurunya sendiri.
Kisah memilukan itu berlaku di daerah Daejeon, Korea Selatan, seorang murid perempuan dijumpai bersama guru tersebut dalam keadaan terbaring di dalam sebuah kelas dengan kecederaan serius pada wajah dan leher.
Menurut laporan agensi berita Yonhap, kanak-kanak yang dikenali sebagai Kim Ha-neul, dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri, tetapi meninggal dunia kemudian.
Sementara suspek mengalami luka tikaman di leher dan lengan, yang menurut pegawai berkemungkinan akibat percubaan mencederakan diri sendiri.
"Polis mendapati guru tersebut telah mengambil cuti sakit akibat kemurungan dan kembali mengajar di sekolah itu pada akhir tahun lalu," ujar sumber berita tersebut.
Polis yang menyiasat kejadian itu memberitahu, suspek berusia 40-an mengaku perbuatannya yang menyebabkan kematian pelajar berusia lapan tahun tersebut.
Dia pada masa sama mengakui memilih secara rawak pelajar terakhir yang meninggalkan sekolah pada ketika itu.
Kanak-kanak itu yang sepatutnya menghadirkan diri ke kelas seni selepas tamat persekolahan telah diajak oleh guru tersebut ke bilik audio visual dengan alasan untuk memberikan buku kepadanya.
Namun, wanita itu tiba-tiba bertindak mencekik dan menikam mangsa di leher dan bahunya.
Kehilangannya disedari ibu bapa manga lebih kurang jam 5.15 petang pada hari Isnin, 10 Februari 2025, apabila pemandu bas yang sepatutnya mengambil anak mereka mengatakan mangsa tiada.
Lantaran itu, pihak sekolah dan pihak berkuasa berusaha mencari mangsa dan menemuinya dalam keadaan menyayat hati di tingkat dua sekolah berkenaan.
Siasatan lanjut pihak polis mendapati, suspek mengalami kemurungan dan pernah berniat mahu membunuh diri tetapi dalam proses rawatan pemulihan.
Dia pada mulanya memohon cuti sakit selama enam bulan pada 9 Disember 2024, tetapi kembali bekerja semula pada 31 Disember 2024.
Naib pengetua sekolah tidak membenarkan guru tersebut untuk mengajar di kelas kerana risau keadaan kesihatan mental yang belum pulih sepenuhnya. Beliau mengarahkan guru itu untuk duduk berdekatan pejabatnya supaya mudah untuk dia memantau.
Tiga hari sebelum memori hitam ini berlaku, suspek telah bergaduh dengan guru lain dan memulas tangan rakan sekerjanya.
Dia juga dikatakan tiba-tiba ‘naik hantu’ dan merosakkan komputernya apabila berlaku masalah internet.
Pada pagi kejadian, pegawai dari pejabat Pendidikan daerah telah datang ke sekolah untuk menilai keadaan namun tiada tindakan sewajarnya diambil ke atas guru berkenaan.
Tragedi itu mencetuskan kritikan orang ramai terhadap keselamatan dan penyeliaan program selepas waktu sekolah.
Masyarakat juga mempertikaikan tindakan sekolah yang membenarkan guru tersebut untuk kembali bertugas sama ada dinilai dengan secukupnya atau pun tidak.