Adakalanya lepas makan tengahari kita mencari-cari kudap-kudapan untuk mengisi perut. Ada yang suka pisang goreng, keropok lekor mahu pun kuih-muih tradisional. Lebih seronok jika dapat makan di kedai terus sambil bersantai menghirup udara segar.
Jika anda mencari minum petang dan mahu lepak bersama kawan-kawan mahu pun keluarga, boleh cari IT Café yang terletak di Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang. Kedai makan yang comel terletak di kawasan kampung sambil dikelilingi kehijauan flora amat sesuai untuk minum kopi sambil tenangkan fikiran.
Café ini dimiliki oleh anak jati penduduk kampung itu, Nurazeera Binti Md Suder dan adiknya Muhammad Nazmie Syam Bin Md Suder. Diberi nama IT Café sempena nama pena Nazmie iaitu Insan Tomyam (IT).
"Tujuan asal buka café ini sebenarnya sebab nak buat pendapatan tambahan. Nak ada perniagaan sendiri yang sentiasa berjalan tanpa kami perlu ada di situ. Jadi, keluarlah idea nak buka kedai makan. Waktu 2021, tak banyak lagi konsep café kecil seperti ini. Sebab itu kami pilih untuk buat café kecil ini”
"Perkenalkan konsep café kecil yang santai, tenang, boleh lepak, aesthetic, makanan ringan dan harga berpatutan. Lagi pun, modal buka bisnes café kecil ni tak banyak mana sesuai dengan bajet kami” ujar Nurazeera memulakan bicara.
Tiga tahun beroperasi, pasangan adik-beradik ini tidak sangka rancangan awal untuk berniaga secara kecil-kecilan dan fokus kepada penduduk kampung sahaja akhirnya mendapat sambutan hangat sekarang ini. Ramai pengunjung datang dari luar daerah.
Antara sebab utama adalah masyarakat lebih gemar bersantai di café seperti ini. Lihat sahaja pasaran dan permintaan kedai makan comel seperti IT Café ini sering kali mendapat tempat di hati penggemar konsep healing.
Mereka tidak mahu serabut beratur panjang untuk mendapatkan makanan dan lebih rela memandu jauh ke ceruk kampung untuk merasa sendiri makanan yang dikehendaki. Menjadi kelebihan sekiranya café tersebut menjadi viral dan sebutan orang ramai. Maklum sahaja sekarang ini terlalu ramai pempengaruh media sosial membuat ulasan makanan sehingga ada yang menambat hati penonton yang melihat video tersebut.
Menu santai menjadi tarikan utama
Sesuai dengan konsep lepak santai, IT Café menyediakan menu ringan yang akan dicari untuk makan petang sesuai dengan waktu operasinya yang bermula jam 4 petang sehingga jam 11 malam. Antara menu yang disediakan adalah spaghetti, nachos, croffle, pancake, shaved ice, ice blended, milkshake dan mojito.
Untuk penggemar sup pula, anda boleh mendapatkan menu pilihan ramai seperti mi jawa, soto bergedil, mi kari dan juga laksa. Selain daripada itu, anda yang berminat untuk membuat jamuan ringan bersama rakan-rakan sekerja mahu pun geng sekolah, boleh hubungi mereka untuk tempahan.
"Bagi perancangan jangka masa panjang, kami nak IT Café ini lebih dikenali. Sekarang ini, dalam perancangan untuk tambah menu baru. Bila ada menu yang baru nanti, harapnya pelanggan akan bertambah lagi”
"Tidak dinafikan di kawasan ini sahaja banyak café telah dibuka cumanya konsep mereka berlainan dengan kami. Harga juga ada perbezaan. Terpulang kepada pelanggan nak pilih yang mana. Ini antara cabaran kami dalam berniaga. Kena cari keunikan untuk menambat hati pelanggan”
"Alhamdulillah buat masa ini semua berjalan dengan lancar. Jika dimurahkan rezeki, kami merancang untuk buka café di kawasan yang lebih luas kerana pelanggan makin ramai. Apa yang penting kami akan kekalkan konsep yang sama” kata Nurazeera mengakhiri bicara
Untuk maklumat lanjut mengenai IT Cafe, sila layari laman Instagram dan TikTok @itcafe690