SETELAH sebulan bercuti, akhirnya anak-anak kembali memulakan sesi persekolahan baharu sejak semalam bagi negeri Kedah, Kelantan, dan Terengganu.
Bukan sahaja anak-anak, tetapi ibu bapa juga turut merasai debaran menghadapi hari pertama persekolahan.
Semalam, pemain bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha sempat memuat naik video di Instagramnya gelagat bersama anak-anak bermain permainan melantun bola pingpong ke dalam bekas bekas bagi menentukan duit belanja sekolah.
Dalam video tersebut, anak yang berjaya memasukkan bola ke dalam bekas paling awal akan menerima duit belanja sebanyak RM10, manakala tempat kedua akan mendapat RM5.
Akhirnya, anak kedua beliau, Muhammad Aisy Aryann berjaya memasukkan bola ke dalam bekas tersebut terlebih dahulu dan memperoleh RM10 sebagai duit belanja.
Meninjau di ruangan komen, ramai yang memuji cara si ayah melayan anak-anak. Tidak kurang juga yang mendoakan agar keluarga ini sentiasa dilimpahi kasih sayang.