KISAH cinta primadona Erra Fazira dan jejaka misteri yang dikenali sebagai Mr. E semakin hangat diperkatakan.
Satu demi satu momen mereka tidak lagi diselindungkan dan kerap dikongsi di media sosial, seolah-olah memberi bayangan bahawa hubungan mereka kini berada di fasa lebih serius.
Namun, di saat orang ramai mendoakan agar dua insan ini disatukan, warganet terus tertanya-tanya tentang reaksi anak perempuan Erra, Engku Aleesya, terhadap kehadiran lelaki baharu dalam hidup ibunya.
Tidak mahu peminatnya terus berteka-teki, pengacara Borak Bibir Merah itu akhirnya buka mulut secara esklusif dalam rancangan bual bicara SinarPlus baru-baru ini.
Menurut bintang filem Maria Mariana itu, selain daripada persetujuan ibu tercinta, restu puteri kesayangannya juga menjadi faktor utama dalam membuat keputusan selanjutnya.
"Dalam soal menentukan pasangan hidup, selain ibu, saya juga perlu mendapatkan persetujuan Aleesya. Kalau anak bagi lampu hijau, barulah boleh.
"Tapi kalau lampu merah atau bendera merah, memang tak boleh," katanya.
Dalam nada berseloroh, pemilik nama Fazira binti Wan Chek itu sempat mengusik penonton yang hadir pada rancangan tersebut.
Pelakon berusia 51 tahun itu menyedari ramai peminatnya memakai baju berona hijau, seolah-olah memberi bayangan ‘lampu hijau’ untuk hubungannya dengan Mr. E.
"Insya-ALLAH, anak haruslah bersetuju. Kebetulan ramai penyokong saya hari ini pakai baju hijau. Kita doakan agar lampu hijau menyala," ujarnya sambil tersenyum.
Persoalannya, bila sudah dapat lampu hijau, bila pula peminat boleh menjamu nasi minyak? Atau mungkin selepas Aidilfitri nanti ada berita gembira yang bakal diumumkan?
Jangan ketinggalan! Saksikan Borak Bibir Merah pada 3 Mac depan untuk mendengar sendiri pengakuan eksklusif daripada empunya diri!