PAGI tadi gempar kejadian seorang lelaki dipercayai warga tempatan mencabul seorang kanak-kanak perempuan yang sedang bersolat di Masjid Jamek Sungai Masin, Batang Kali.
Menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat dalam masjid tersebut, lelaki tersebut dilihat masuk dalam kawasan solat muslimat dan menuju ke arah mangsa yang sedang bersolat di bahagian belakang jemaah wanita.
Dia kemudiannya bertindak memeluk dan mendukung kanak-kanak perempuan itu bagi dibawa keluar dari kawasan solat muslimat sekitar jam 6.41 pagi Jumaat.
Sewaktu kejadian, suspek yang memakai kopiah putih, baju kuning berbelang hijau dan berseluar gelap dalam keadaan tergesa-gesa cuba melarikan mangsa sewaktu jemaah sedang bersolat Subuh.
Dalam satu hantaran lain di media sosial X, seorang netizen menyatakan mangsa yang kena cabul itu adalah dua pupu kepadanya.
Selain itu, dia juga menyatakan suspek mempunyai kad orang kurang upaya (OKU).
Dalam pada itu, tular juga sebuah video yang memaparkan mangsa bersama seorang wanita menceritakan keadaan sebenar yang berlaku.
Menurut wanita tersebut, beliau mendengar bunyi jerit tetapi menganggap kanak-kanak bermain. Malah, dengar juga bunyi pintu dibuka dan hanya menyangka ada jemaah lain datang untuk solat.
"Dengar suara jerit orang bersuara jerit-jerit, ingatkan budak-budak main. Masa tengah solat dengar orang buka pintu ingat ada jemaah lain nak solat tapi tiada tambahan pun. Bila habis solat dengar anak nangis-nangis," kata wanita itu.
Sementara itu, Polis Hulu Selangor dalam satu laporan mengesahkan pada 21 Februari 2025 jam lebih kurang 8.19 pagi telah menerima satu laporan polis berhubung satu video yang tular di platform media sosial kejadian ini dipercayai berlaku di sebuah masjid di kawasan Batang Kali, Hulu Selangor.
Seorang suspek lelaki warga tempatan berumur 19 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan, kes ini disiasat dibawah seksyen 14(a) akta kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017.
Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada 22 Februari 2015 untuk dipohon reman bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai apa-apa maklumat diseru untuk tampil membantu pihak polis dengan menghubungi ibu pejabat polis Daerah Hulu Selangor di talian 05-60651021 atau mana-mana balai polis berhampiran.