Dari ladang ke kopitiam moden, transformasi berani Haris Embong tinggalkan zon selesa demi bina legasi dalam dunia makanan

Iklan

BENARLAH kata orang, tidak semua perjalanan kejayaan bermula dengan mudah.

Demikian juga bagi Datuk Haris Embong, bekas kakitangan kerajaan yang berkhidmat selama 18 tahun, menjadikan setiap cabaran dan kegagalan sebagai pelajaran berharga.

Iklan
Iklan

Selepas lebih sedekad menceburi dunia perniagaan, beliau kini dikenali sebagai peneraju syarikat Arisprop Capital Bhd. dan pengasas Aris Burger Sdn. Bhd. yang baru-baru ini menambah satu lagi kejayaan berikutan pembukaan restoran kopitiam bertema moden, The Makan Shoppe, di Pusat Beli-Belah 168 Selayang.

Bagi usahawan berusia 47 tahun ini, jiwa usahawan telah lama tertanam dalam dirinya.

Iklan

"Ini adalah jiwa saya kerana saya dibesarkan dalam suasana perniagaan. Ibu saya seorang peniaga restoran makanan, dan ia seiring dengan latar belakang pendidikan saya yang berkait dengan sektor pertanian,” katanya.

Setelah meninggalkan sektor kerajaan, beliau memulakan langkah pertama dalam bidang perniagaan melalui kontrak kerja landskap sebelum berkembang ke sektor pembersihan bangunan.

Iklan

Hasil keuntungan daripada projek-projek awal itu dimanfaatkan untuk melabur dalam hartanah. Pada tahun 2015, beliau membeli tanah pertanian dan membuka ladang ternakan ayam.

"Saya sentiasa percaya bahawa asas kukuh perlu dibina terlebih dahulu sebelum melangkah lebih jauh,” ujarnya ketika berkongsi visinya bersama SinarPlus baru-baru ini.

Keputusan untuk menceburi industri makanan sejuk beku bukanlah secara kebetulan. Menyedari permintaan yang tinggi terhadap makanan halal berkualiti tinggi, Haris melihat peluang besar dalam pasaran itu.

Syarikatnya kini menghasilkan pelbagai produk sejuk beku seperti burger, bebola daging, dan lain-lain dengan harga mampu milik.

"Mungkin ramai orang lihat terlalu banyak produk makanan di pasaran, tetapi permintaannya tetap tidak mencukupi. Sebab itu saya pilih bisnes berasaskan makanan.

"Fokus saya adalah menghasilkan produk bermutu, berkualiti, dan halal,” katanya.

Penekanan kepada penyelidikan dan pembangunan serta mendapatkan pensijilan halal yang diiktiraf menjadi kunci kejayaan produk mereka.

Produk-produk Arisprop bukan sahaja memenuhi keperluan pasaran tempatan tetapi juga telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Mencapai kejayaan dalam industri sejuk beku tidak menghentikan beliau daripada terus melangkah. Dengan visi membawa makanan jalanan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi, beliau memperkenalkan The Makan Shoppe.

Restoran yang mengetengahkan konsep From Street to Restaurant, membolehkan rakyat Malaysia menikmati makanan tempatan dalam suasana yang selesa.

"The Makan Shoppe bukan sekadar restoran biasa. Ia adalah simbol keunikan dan warisan makanan Malaysia,” jelasnya.

Dengan slogan Malaysia Street Food and More! Come LAH!, restoran itu menawarkan menu istimewa seperti nasi lemak bungkus Pattaya dan burger ala gerai jalanan dengan sentuhan premium.

Setiap hidangan di restoran tersebut dirancang dengan teliti, termasuk penggunaan daging berkualiti tinggi dan sos eksklusif Umami yang dihasilkan sendiri.

Konsep tersebut bukan sahaja menarik perhatian pelanggan tetapi juga membuka peluang kepada francais pada masa hadapan.

Restoran bertaraf antarabangsa

Walaupun telah menerima tawaran daripada beberapa pihak untuk menjadikan restoran tersebut sebagai francais, namun Haris memilih untuk bergerak perlahan, tetapi mantap.

"Pihak kami pun ada menerima ‘pinangan‘ daripada agensi besar untuk francais, tetapi saya belum bersedia kerana banyak hal yang perlu diperhalusi terlebih dahulu.

"Saya tidak mahu buka tutup cawangan selain mahu menjaga kualiti supaya tidak timbul rungutan daripada pelanggan. Sebab itu, sebelum mahu melangkah lebih jauh (francais), saya tidak kisah untuk melalui proses fasa demi fasa sebelum bersedia untuk peringkat seterusnya,” katanya dengan tegas.

Perjalanan lelaki berusia 47 tahun itu penuh dengan liku-liku. Namun, bagi beliau, kegagalan dan cabaran adalah asam garam dunia perniagaan.

"Dalam satu-satu bisnes, kita tak boleh berkembang secara pantas. Kita perlu lalui langkah demi langkah.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana pihak kami memiliki sijil halal yang diiktiraf. Ini memudahkan terutama dalam memenuhi permintaan produk makanan halal yang sangat tinggi di luar negara,” tambahnya.

Keberanian beliau untuk bermula dari bawah dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan cabaran membuktikan bahawa tiada jalan pintas untuk berjaya.

Sama ada di pasar raya tempatan atau restoran bertaraf antarabangsa, sentuhan beliau dapat dirasai dalam setiap produk dan hidangan yang dihasilkan.

Bukan itu sahaja, bagi memantapkan lagi ilmu dan kemahiran di dada, Haris kini menyambung pengajian ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Utara Malaysia melalui Pusat Pengajian Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA).