'Tipulah kalau kata duit tak penting...' Dari gelanggang Muay Thai ke pentas peragaan, ibu pendorong kejayaan Johan Ghazali

Iklan

MANA tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Demikian perumpamaan yang sesuai menjadi contoh buat jejaka kacak yang menjadi idaman ramai.

Iklan
Iklan

Pada usia 18 tahun, Johan Ghazali atau mesra disapa Jojo, sudah menjadi inspirasi buat ramai anak muda di Malaysia.

Berdarah kacukan Malaysia-Amerika Syarikat, anak muda ini bukan sahaja menyerlah di gelanggang, malah keperibadiannya yang sederhana dan penuh adab sering memukau perhatian.

Iklan

Anak kedua daripada empat beradik itu memang dilahirkan dalam keluarga yang aktif dalam sukan lasak Muay Thai.

Malah, darah pahlawan yang mengalir dalam diri Jojo datang dari bapanya yang merupakan seorang Komandan Pusat latihan Polis di Kuching, Sarawak.

Iklan

Bukan itu sahaja, arwah datuknya pula Jeneral Tan Sri Ghazali merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera (ATM).

Lebih menarik lagi, ibunya, Jennana Johnson, bukan calang-calang wanita. Beliau dikenali sebagai wanita pertama yang diiktiraf sebagai pejuang Muay Thai di Malaysia.

Memulakan latihan Muay Thai pada usia 9 tahun, perjalanan Jojo penuh liku dan memerlukan pengorbanan.

Kini, beliau mewakili kelab Muay Thai Rentap di Sarawak, menjadikan sukan itu sebagai karier utama.

Memiliki wajah kacak dan pernah tampil dengan berbaju Melayu di gelanggang, Jojo bukan sekadar atlet biasa. SinarPlus baru-baru ini dijemput secara eksklusif untuk sesi temu bual bersama pemilik nama sebenar, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar.

Mukadimah awal pembuka bicara dengan empunya diri berkisar tentang kerjaya beliau dalam sukan lasak itu.

Mengimbau kembali antara detik kejayaan beliau yang paling mencuri perhatian dunia, apabila berjaya menumpaskan lawannya dengan KO dalam masa hanya 16 saat dalam pertandingan Flyweight Muay Thai di Thailand.

"Saya pernah kalah lima kali sebelum akhirnya jadi Juara Dunia Remaja Muay Thai IFMA. Tapi saya tak pernah putus asa. Setiap kekalahan itu pelajaran untuk saya jadi lebih baik,” katanya penuh semangat.

Namun, di sebalik kejayaan itu, tersimpan kisah pengorbanan seorang remaja.

"Saya terpaksa korbankan masa remaja. Tiada lepak dengan kawan-kawan seperti orang lain. Fokus saya cuma latihan dan pelajaran. Tiada istilah ada masa lapang kerana setiap masa saya berlatih.

"Kini tambah lagi tugas baru iaitu menjadi duta. Jadi, saya kena bijak bahagi masa. Lagipun saya bukan jenis yang suka buang masa begitu sahaja, kalau tak ada kerja boleh jadi 'gila',” seloroh beliau.

Duta wangian

Selain bersinar dalam arena sukan, Jojo kini melangkah ke bidang komersial dengan menjadi duta wangian jenama Blanco. Menurutnya, peluang tersebut membuka ruang baharu untuknya berkembang.

"Saya pilih Blanco sebab nampak jenama ini semakin berkembang dan sentiasa berinovatif.

"Malah, ia seolah-olah mencerminkan diri saya yang masih menapak dan memperbaiki diri untuk lebih berjaya.Kalau tanya soal pilihan wangian, saya suka bau yang manis.

"Dan dengan kerjasama ini, kami akan keluarkan beberapa jenis wangian baharu yang saya yakin ramai akan suka,” katanya.

Kepada tuan punya badan ditanya mengenai soal wang menjadi faktor utama beliau menerima tawaran duta.

"Tipulah kalau kata duit tak penting. Tapi lebih dari itu, saya nak pastikan kolaborasi ini saling menguntungkan kedua-dua pihak.

"Lagipun ini bukan kerjaya sepenuh masa, jadi saya lebih santai dengan syarat yang tak keterlaluan,” jelasnya.

Beliau juga jenis terbuka dan bukan jenis letak sembarangan syarat.

"Saya suka jika dapat yang 'satu kepala' dan buat yang terbaik untuk bahagian masing-masing,” ungkapnya.

Bukan hanya sekadar produk wangian, beliau juga baru-baru ini dipilih sebagai duta baju Melayu jenama Bulan Bintang.

"Setiap kali saya ada perlawanan, saya mewakili Malaysia. Secara tak langsung, saya akan mempromosikan negara dan budaya kita sehingga ke luar negara.

"Memang saya akan pakai baju Melayu ketika dalam sidang akhbar. Ini kerana saya kena berhati-hati memilih baju yang sesuai untuk mewakili budaya orang Malaysia. Dengan Bulan Bintang, saya tidak perlu risau lagi,” ujarnya sambil tersenyum.

Warisan darah pahlawan

Perbualan kami kemudiannya kembali semula kepada penglibatannya dalam sukan lasak.

Selain datuknya yang merupakan seorang panglima tentera, adik-beradiknya turut sama aktif dalam sukan Muay Thai. Mereka dilihat cukup komited dalam menumpukan kepada pembangunan sukan berkenaan di Sarawak.

"Darah pahlawan sudah mengalir dalam diri saya. Sejak kecil, saya sudah terbiasa dengan suasana ini. Ibu pula sentiasa jadi penyokong kuat saya. Begitu juga dengan adik-beradik yang lain,” katanya dengan nada bangga.

Anak muda dengan ketinggian 170 sentimeter itu juga berkongsi bagaimana wanita terpenting dalam hidupnya itu sering memberi dorongan.

"Ibu selalu kata menang atau kalah itu tak penting, yang penting buat yang terbaik.

"Walaupun risau tentang bab kecederaan, namun dia faham inilah jalan yang saya pilih,” katanya.

Terbaharu, Jojo menghadiahkan jam tangan mewah Rolex kepada wanita berkenaan sebagai tanda penghargaan.

Menerusi perkongsian tersebut, Jennana terkejut menerima hadiah dan dilihat mengalirkan air mata.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dapat membalas jasa ibu. Dia insan paling istimewa dalam hidup saya,” tulis Jojo di media sosial miliknya.

Menyentuh mengenai tanggapan segelintir pihak kononnya mereka yang terbabit dalam sukan ganas seorang yang baran, ini reaksi Jojo.

"Untuk jadi lelaki yang baik, kena ada disiplin, tahu kawal emosi, dan sentiasa lindungi orang yang kita sayang.

"Sebab itu, saya selalu ingatkan, kalau nak bertarung, hanya di gelanggang, bukan di luar,” ujarnya tegas.



Tak layan provokasi

Pada masa sama, beliau juga mengakui dirinya tidak mudah 'koyak' dengan kritikan.

"Kalau ada yang kecam, saya ambil sebagai pengajaran.

"Mereka yang tak pernah berada dalam bidang ini mungkin tak faham. Jadi saya tak layan provokasi,” katanya.

Namun, Jojo tidak menafikan bahawa sukan berkenaan bukanlah sesuatu yang boleh bertahan lama.

"Mungkin bila sudah mencecah umur 30 tahun, akan tukar bidang, tapi buat masa sekarang, fokus saya cuma pada Muay Thai dan peluang yang datang bersamanya,” jelasnya jujur.

Sebagai selebriti yang dikenali, Jojo turut ditanya mengenai cabaran dalam menjaga privasi. Lebih-lebih lagi dalam berkongsi tentang kehidupan peribadi.

"Saya baru 18 tahun, jadi teringin juga nak nikmati hidup seperti remaja lain.

"Tetapi, saya tak menyesal dengan jalan yang ini. Saya go with the flow dan terima apa yang mendatang,” katanya sambil tertawa kecil.

Penulis turut meminta berkongsi perasaanya bila melangkah ke dunia glamor, ungkap Jojo, walaupun hidupnya kini sentiasa di bawah perhatian ramai, beliau enggan merungut.

"Kadang-kadang rimas juga, tapi saya anggap penyokong macam keluarga sendiri. Tanpa mereka, saya bukan siapa-siapa,” katanya.