TAKZIAH diucapkan buat pengacara, Hanif Miswan atas pemergian ibu tercinta, pada Ahad.
Perkhabaran duka itu dikongsi sendiri oleh Hanif menerusi hantaran di Instagram miliknya.
Dalam coretan penuh emosi, beliau meluahkan rasa pilu atas kehilangan insan yang amat disayangi, Allahyarham Mazidah Abdullah yang pergi meninggalkan mereka sekeluarga pada hari pertama Ramadan.
Pengacara Malaysia Hari ini itu turut menggambarkan tiada lagi doa tanpa hijab dari seorang ibu dapat dirasai setelah kehilangan tersebut.
Hanif turut menyifatkan arwah sebagai penyatu hubungan adik-beradik yang kini telah pergi buat selama-lamanya.
"Maka terhentilah doa yang tiada hijab dari seorang mak buat kami semua, pengikat kasih kami adik-beradik," tulisnya.
Dengan penuh sayu, beliau menitipkan doa agar roh ibunya ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta dipertemukan dengan suami tercinta yang telah pergi awal tahun lepas, di alam abadi sana.
"Ya ALLAH ampunilah dan kasihilah dia, lapangkan kuburnya, berikanlah ganjaran Syurga buat insan yang kami cintai ini.
"Berbahagialah mak bersama kekasih hati yang dah lama menanti iaitu abah, dan anak yang sentiasa dirindui, Alang di alam sana ye.
"Insya-ALLAH nanti kami menyusul bila tiba masanya," katanya dengan sayu.
Dalam pada itu, Hanif sempat memohon maaf dan merayu agar segala pemberian dan jasa ibu kepadanya dihalalkan.
Menjengah ruangan komen, rakan-rakan industri serta para peminat tidak putus-putus menitipkan ucapan takziah serta doa buat arwah.
"Moga Syurga untuknya," komen Fedtri Yahya.
"Al-Fatihah. Salam takziah abang Hanif," tulis Hawa Rizwana