KEHILANGAN insan tersayang bukan sesuatu yang mudah untuk diterima.
Pemergian isteri kepada usahawan dan pempengaruh media sosial, Ridzokumura pada Jumaat lalu bukan sahaja memberi kesan mendalam kepada keluarga, malah turut dirasai oleh para peminatnya.
Namun, dalam hantaran yang dikongsikan di Instagram, Ridzokumura atau nama sebenarnya Abd Ridzuan Abdul Mutalib tidak mengulas lanjut mengenai punca pemergian isteri tercinta, Akiko Okumura.
Terbaharu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan mengesahkan seorang wanita warga Jepun ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di SS16, merupakan isteri kepada Ridzokumura.
"Bila kita siasat bawah mati mengejut, kita akan lihat semua perkara. Kita akan tetap lihat sebarang unsur jenayah sama ada tindakan mangsa atau sebagainya.
"Kalau ada kesan unsur jenayah, baru kita klasifikasikan semula bawah kesalahan jenayah. Apabila siasat bawah mati mengejut, tidak bermakna kita ketepikan unsur jenayah,” katanya.
Difahamkan, suami Allahyarham Akiko, yang juga bapa saudara kepada pelakon Zarina Zainuddin, telah dipanggil untuk membantu siasatan.
Pada masa sama, pihak kedutaan Jepun serta keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai tragedi menimpa Allahyarham Akiko atau nama Islamnya, Nur Aishah Abdullah.
Mengulas lanjut, anggota polis peronda yang bertugas pada Jumaat lalu bergegas ke lokasi menemui mangsa dalam keadaan meniarap di atas tanah.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan awal terhadap tubuh mangsa serta lokasi kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah.
Berita pemergian Allahyarham Akiko turut mengundang pelbagai reaksi di media sosial.
Rata-rata netizen yang mengikuti perjalanan hidupnya meluahkan rasa pilu, terutama apabila mengenangkan anak tunggalnya, Sky Taizo Okumura yang baru berusia 13 tahun.
Akiko yang dikenali sebagai mualaf yang sangat sopan dan pemalu ini sangat disenangi oleh netizen.
Peminat sering menantikan perkongsian video Ridzokumura yang memaparkan momen anaknya, Sky bersahur dan berbuka puasa dengan juadah air tangan ibunya.
Menu tradisi Jepun yang disediakannya bukan sahaja menarik perhatian kerana hiasannya yang cantik, tetapi juga kerana kasih sayang yang terpancar dalam setiap hidangan.
Akiko dan Ridzokumura mendirikan rumah tangga pada tahun 2009. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Sky Taizo Okumura.