DEWAN Rakyat sekali lagi menjadi saksi kenangan mencuit hati apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berseloroh mengenai hubungan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq dengan penyanyi Bella Astillah.
Momen itu berlaku ketika Syed Saddiq atau nama sebenarnya Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman Al-Sagoff menyerahkan hadiah baju Melayu kepada Anwar.
Dalam satu video yang tular di TikTok, beliau kelihatan menyapa Anwar di perkarangan luar dewan sebelum menyerahkan sebuah beg berisi kotak baju Melayu.
Namun, apa yang lebih mencuri perhatian adalah usikan spontan Anwar yang berkata, Bella perlu ada ketika memberi baju berkenaan secara tidak langsung mencetuskan gelak ketawa.
"Bella kena ada kat sebelah,” kata PMX.
Tidak mahu mengalah, Syed Saddiq membalas dengan berseloroh untuk tidak mengusik pelantun lagu Tapi Bukan Denganmu kerana itu miliknya sambil tersenyum.
"Jangan kacau. Itu (Bella Astillah) saya punya. Kasi chance lah,” katanya.
Lebih mencuri perhatian, Ahli Parlimen Tambun itu sempat bertanya tentang persiapan perkahwinan anak bongsu daripada empat beradik tersebut.
Namun, Syed Saddiq tidak segera memberikan jawapan kerana menyedari banyak kamera yang sedang merakam momen itu.
Sebaliknya, beliau hanya tersenyum dan berseloroh bahawa PMX akan menjadi orang pertama yang mengetahuinya.
Pertanyaan tersebut tidak terhenti disitu. Malah, Anwar sempat mengangkat dokumen sambil tersenyum, seolah-olah mahu mendapatkan kepastian mengenai hubungan dan tarikh pernikahan mereka.