PENYANYI yang pernah mencetuskan fenomena menerusi lagu Tamil Yennado Macha, Zubir Khan, terus mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Perpaduan baru-baru ini.
Zubir, atau nama sebenarnya Muhammad Zubir Mohamad Ali, meluahkan rasa syukur atas penghormatan tersebut dan mengakui pengiktirafan berprestij itu tidak pernah terlintas dalam fikirannya.
Namun, saat mengetahui namanya terpilih sebagai penerima, penyanyi berbakat itu mengakui dirinya sendiri terkejut dan seakan tidak percaya.
"Anugerah Ikon Perpaduan salah satu perkara yang saya tidak pernah jangka akan dapat dan rasa anugerah itu pun kerana lagu Yennado Macha.
"Kerana lagu tersebut digunakan pada Hari Kebangsaan tahun lalu, dan ramai yang mendengarnya tanpa mengira bangsa. Jadi, secara tidak langsung, lagu itu mampu menyatukan rakyat Malaysia," katanya kepada SinarPlus.
Bagi yang belum mengenalinya, Zubir bukan sekadar penyanyi berbakat, tetapi juga seorang anak Melayu yang fasih berbahasa Tamil.
Keistimewaan itu menjadikan anak bongsu daripada lima beradik ini mudah didekati serta diterima oleh masyarakat India.
"Saya pula seorang budak Melayu yang fasih berbahasa Tamil dan biasa bergaul dengan pelbagai kaum. Mungkin sebab itu mereka rasa saya layak menerima Anugerah Ikon Perpaduan," ujarnya sambil tersenyum.
Walaupun bersyukur dengan pengiktirafan ini, penyanyi berkenaan mengakui, tanggungjawab yang mengiringi gelaran tersebut bukan sesuatu yang mudah. Namun, beliau bertekad untuk terus membawa mesej perpaduan melalui karya seninya.
"Bukan senang sebenarnya, sebab menerima anugerah ini bukan seperti mendapatkan sijil selepas tamat belajar, tetapi ia satu pengiktirafan yang dipilih.
"Jadi, apabila menerimanya, saya sedar ada tanggungjawab besar yang perlu digalas. Saya fikir selepas ini, saya harus lebih mendekati masyarakat pelbagai kaum. Namun, bagi saya, itu bukan satu masalah," katanya ketika ditemui selepas sidang media EP Janji Raya Iman Troye di ibu kota baru-baru ini.
Dalam dunia serba pantas hari ini, salah faham mudah tercetus, terutama di media sosial. Setiap isu boleh menjadi perdebatan hangat dalam sekelip mata.
Baru-baru ini, insiden melibatkan tiga penyampai Era FM menarik perhatian netizen, dan pelantun lagu Oh My Khadhale, Zubir Khan, turut tampil memberikan pandangannya.
"Saya bukan tak nak bersuara, tapi tak tahu nak cakap macam mana. Mungkin niat mereka lain, tapi bila sampai ke media sosial, maksudnya jadi berbeza.
"Netizen pula fikir penyampai berkenaan cuba mengejek Tuhan mereka, dan dari situlah timbulnya salah faham," katanya.
Bagi Zubir, perkara paling utama adalah berlapang dada dan belajar daripada kesilapan. Beliau berpendapat bahawa permohonan maaf telah pun dibuat, dan kini tiba giliran pihak yang terlibat untuk membuka hati dan memaafkan.
"Kalau kita buat salah, kita minta maaf. Kalau orang itu baik hati, dia maafkan kita. Jadi, itu sahaja," komennya dengan tenang.
Zubir Khan dinobat Ikon Perpaduan, seru kena berlapang dada, belajar dari kesilapan isu penyampai radio. 'Kalau baik hati, maafkan...'
Iklan