Dah bosan berbuka puasa di rumah? Teringin pula nak ajak keluarga atau pun sahabat handai untuk iftar bersama di luar. Di sini, ada beberapa pilihan untuk anda.
EzyCafe by EzyDurian
IFTAR lebih bermakna bila poket jimat ditambah pula dapat belanja keluarga atau pun kawan-kawan. Dengan harga hanya RM60 untuk dewasa dan RM35 untuk kanak-kanak (6-12 tahun) anda boleh menikmati lebih 80 jenis juadah di EzyCafe by EzyDurian, Seksyen 3 Bandar Baru Bangi.
Kawasan yang luas dan selesa serta surau yang disediakan asing antara lelaki dan perempuan menjadikan tempat ini antara tumpuan untuk lokasi berbuka puasa.
Terdapat makanan bakar seperti daging kambing dan ayam bakar, pelbagai jenis lauk tradisional untuk dimakan bersama nasi putih, pilihan sup dan mi di warung meletop, warung gorengan panas serta jangan lupakan juga salad dan rojak sebagai pelengkap hidangan.
Selepas kenyang dengan menu utama, boleh dapatkan hidangan pencuci mulut seperti serawa durian, bubur kacang, bubur pulut hitam dan aneka kuih-muih. Pasti rambang mata memilih yang mana satu.
Kay’s Steak & Lobster
DISAHKAN halal. Itu yang paling penting. Kay’s Steak & Lobster, restoran premium yang terkenal dengan hidangan steak berkualiti tinggi dan lobster segar tidak terkecuali membuat kemunculan hidangan istimewa iftar untuk anda semua.
Eksklusif untuk kehadiran Ramadan kali ini, Kay’s memperkenalkan nasi lemak lobster berempah. Sajian istimewa ini dihidangkan dengan nasi basmati wangi, ikan bilis Pangkor rangup, kacang tanah, telur rebus, sambal pedas serta timun Cameron Highland yang segar.
Setiap hidangan turut disertakan dengan minuman signatur pilihan pelanggan. Manakala hidangan istimewa nasi lemak rendang tulang rusuk pula menggabungkan kelembutan daging tulang rusuk yang dimasak dengan rendang kaya rempah dipadankan dengan nasi lemak klasik.
Baca sahaja sudah boleh memberikan anda bayangan kesedapan makanan ini.
Anda boleh dapatkan keduanya-duanya pada harga RM195 dan RM75.
Hotel Tenera & Suites
MENYELAMI perasaan mereka yang bakal pulang ke kampung pada Syawal nanti, Hotel Tenera & Suites meraikan bulan suci Ramadan ini dengan bertemakan Serantau Desa.
Bermula 3 hingga 29 Mac 2025, anda boleh merasai pengalaman berbuka puasa di tempat yang selesa dengan menjamu selera di lebih 40 gerai yang menyediakan pelbagai jenis hidangan. Antaranya masakan panas, bakar, sup, pasta, pizza, kuih muih, buah-buahan serta aneka minuman.
Bukan itu sahaja, terdapat lebih daripada 200 menu istimewa khas untuk anda seperti nasi dalcha lutut kambing, asam pedas Huzz Power, kariaq ‘mapley’ kepala ikan, kawah gulai raja berangkat, coq langgar Padang Merdeka, tempe madoran, kopi gantung, teh chai dan yang dinanti-nantikan buah durian yang akan disajikan pada setiap hari.
Jangan lepaskan peluang ini. Mulakan tempahan anda sekarang.
The Chicken Rice Shop (TCRS)
SUDAH dua minggu Ramadan berlalu, Aidilfitri pula akan muncul tiba. Sinonim dengan aneka juadah berasaskan ayam, The Chicken Rice Shop (TCRS) membuat kelainan dengan memperkenalkan menu istimewa Hikayat Ayam Zamrud.
Khas untuk pelanggan tercinta, menu edisi terhad ini diilhamkan dari tradisi yang menggabungkan ayam empuk dengan sambal hijau yang memukau. Tidak lengkap hidangan ini tanpa rasa cili hijau yang pedas menyengat, campuran herba beraroma, dan juga rasa masam limau yang menyegarkan.
Boleh diambil bersama nasi ayam dan juga sayur pak choy yang memberikan keenakan berbeza dalam setiap suapan.
Dengan semangat kebersamaan, TCRS juga berkongsi rezeki hidangan istimewa ini bersama empat rumah anak yatim di Lembah Klang iaitu Rumah Anak-Anak Yatim Shifa, Rumah Penyayang Nur Iman, Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah dan Rumah Titian Kaseh.