PELAKON terkenal, Fattah Amin akhirnya dapat melepaskan rindu terhadap anak perempuannya, Nur Fatima Aisya selepas sekian lama tidak bertemu.
Sebelum ini, Fatima dikatakan kurang sihat, menyebabkan mereka tidak dapat bersua muka.
Berkongsi kegembiraan itu, pemilik nama sebenar Abdul Fattah Mohd Amin, berkata segalanya dipermudah hasil dari doa orang ramai.
"Alhamdulillah, hasil daripada doa semua orang saya dapat jumpa dia. Fatima tidak sihat, hari itu saya tidak dapat jumpa dia tetapi hari ini (semalam) saya dapat jumpa dia,”katanya kepada SinarPlus ketika ditemui di majlis berbuka puasa dan solat tarawih 2025 bersama Fattah Amin dekat Kuala Lumpur pada Isnin.
Meskipun masih dalam proses pemulihan, Fatima dikatakan dalam keadaan ceria dan banyak berkongsi cerita bersama bapa tercinta, seolah-olah mahu melepaskan rindu setelah sekian lama tidak berjumpa.
"Masa jumpa pun, Fatima kata dia demam sikit tetapi tidak teruk sangat. Banyaklah saya bersembang dengan dia,” ujarnya.
Berkongsi mengenai perancangan menyambut Aidilfitri, pelakon drama Keluarga Itu itu memaklumkan beliau dan bekas isteri sudah bersetuju untuk bergilir-gilir menjaga Fatima sepanjang musim perayaan.
"Raya pertama dan kedua Fatima akan bersama bekas isteri, kemudian giliran saya pula untuk bersama puteri kesayangan saya pada raya ketiga dan keempat.
"Tapi kita tengok macam mana perbincangan dengan pihak sana. Kalau boleh nak lama sedikit tapi dah ada persetujuan untuk bergilir-gilir itu. Apa yang penting Fatima gembira,” jelasnya.
Menambah keterujaan, Fattah turut mendedahkan bahawa beliau dan anak tunggalnya akan mengenakan busana sedondon berwarna biru pada hari raya nanti.
"Kalau ikutkan pada raya ketiga dan keempat itu baju raya saya dengan Fatima warna biru. Cuma saya pun belum berkesempatan untuk membeli-belah barangan raya kerana sibuk bekerja.
"Mungkin minggu depan baru berkesempatan berbuat demikian untuk keluarga saya," katanya lagi.
Sebelum ini, SinarPlus pernah melaporkan bahawa duta Jakel itu telah beberapa kali berusaha untuk bertemu dengan puteri tunggalnya, namun hasrat tersebut tidak kesampaian meskipun anaknya berada dalam keadaan kurang sihat.