'Terima kasih wanita luar biasa, saya terhutang budi.' Doa seorang ibu kuatkan Syed Saddiq hadapi ujian, percaya pada ALLAH & sistem kehakiman

Iklan

TIADA yang lebih berat bagi seorang ibu selain melihat anaknya dilanda ujian besar. Hati seorang ibu itu lembut, penuh kasih sayang, tetapi dalam kelembutan itu juga tersimpan kekuatan yang luar biasa.

Demikian juga dengan ibu kepada Syed Saddiq, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, yang terus berdoa dan memberi kekuatan kepada anaknya dalam menghadapi detik getir ini.

Iklan
Iklan

"Terima kasih atas sokongan, dorongan, dan doa yang diterima.

"Mudah-mudahan perjuangan anak saya, Syed Saddiq, diberkati Allah dan mendatangkan kebaikan bukan hanya untuk dirinya, tetapi juga untuk semua yang ingin melihat perubahan,” luahnya dengan penuh harapan.

Iklan

"Sebagai ibu dan ayah, kami sentiasa bersamanya. Insya-ALLAH, beliau akan bersedia menegakkan kebenaran," ujar ibunya lagi.

Sementara itu, Syed Saddiq dalam temu bual tersebut meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada Yang Maha Esa dan sistem kehakiman negara.

Iklan

"Saya telah disiasat sejak tahun 2020. Ini tahun kelima. Saya sudah berada di pintu Mahkamah Persekutuan dengan penuh muhasabah dan yakin untuk menuntut keadilan serta kebenaran.

"Malah, saya yakin institusi kehakiman yang saya hormati, pertahankan, dan martabatkan adalah jalan terbaik untuk membersihkan nama serta membuktikan integriti saya," ujarnya.

Wanita luar biasa

Jejaka tinggi lampai itu juga menegaskan, beliau tidak berdiri di situ hanya untuk dirinya sendiri. Lebih daripada itu, perjuangannya membawa satu makna lebih besar – perjuangan untuk politik yang bersih, bebas daripada ugutan dan sogokan.

"Realitinya, kes ini lebih besar daripada saya, Syed Saddiq, semata-mata. Tetapi ini boleh menjadi satu jalan untuk membawa politik yang lebih matang, politik yang menolak ugutan dan sogokan," ungkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muar itu lagi.

Dalam waktu sukar, insan-insan yang berada di sisinya menjadi kekuatan terbesar. Ibu, ayah, abang, kakak, dan sahabat seperjuangan, semuanya menjadi tulang belakangnya.

"Saya sentiasa terhutang budi kepada ibu ayah, abang kakak, dan sahabat yang meletakkan kepercayaan mereka kepada saya. Begitu juga kepada kawan-kawan yang mungkin tidak dapat bersama saya di sini tetapi tetap memberikan sokongan moral.”

Kepada mereka yang tidak jemu-jemu memberi dorongan, Syed Saddiq mengungkapkan rasa syukurnya.

"Kalian semua mengingatkan saya mengapa perjuangan ini perlu diteruskan. Walau sesakit mana pun, saya hanyalah sekadar 'kenderaan' yang membawa perubahan," ungkapnya penuh makna.

Bagi seorang anak muda yang pernah menggegarkan dunia politik Malaysia, beliau sedar bahawa perjalanan ini tidak mudah. Namun, satu perkara yang dipegang oleh duta Primavalet itu adalah keyakinan terhadap keadilan dan kebesaran ALLAH.

"Terima kasih kepada wanita luar biasa, saya terhutang budi. Saya juga bersedia dan yakin dengan kebenaran. Lebih utama, saya meletakkan 100 peratus kepercayaan kepada ALLAH SWT," jelas Syed Saddiq lagi.