KISAH peniaga petai ini meraih perhatian ramai selepas videonya tular baru-baru ini.
Memetik laporan Sinar Harian, Mohd Noor Saad, bukan sekadar menjual petai untuk mencari rezeki menampung kehidupan seharian, rupa-rupanya ada sebab yang lebih besar.
Beliau mahu mengumpul wang bagi membiayai pembedahan mata isterinya yang menghidap katarak.
"Selain petai, ada kalanya saya jual pucuk ubi kerana nak kumpul duit untuk kos pembedahan mata isteri yang tak nampak disebabkan masalah katarak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Raya, Pasir Panjang.
Berkongsi lanjut mengenai kehidupannya, lelaki berusia 67 tahun itu mengakui hanya turun berniaga bila ada bekalan petai.
Setiap sen yang dikumpulnya amat berharga, lebih-lebih lagi apabila mengenangkan keadaan isteri tersayang.
"Anak lelaki saya kerja biasa, anak kedua pula suri rumah. Mereka pun ada tanggungan sendiri, jadi saya tak mahu menyusahkan mereka," katanya lagi.
Walaupun sudah menerima bantuan RM500 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun baginya, itu bukan alasan untuk hanya duduk diam tanpa berusaha.
Selagi ada tulang empat kerat, beliau mahu terus bekerja dan mencari rezeki halal. Sekadar makluman, kisahnya menjadi viral selepas ada pihak memuat naik video beliau ditegur pihak penguat kuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) ketika berniaga petai di tempat letak motosikal.
Isu yang mengundang pelbagai reaksi orang ramai itu bagaimanapun telah berakhir dengan baik.
Menurutnya, pihak MPPD telah datang ke rumahnya untuk menjernihkan keadaan dan bahkan menawarkan permit perniagaan sementara kepadanya.
Tidak hanya itu, Menteri Besar Negeri Sembilan juga turut menghulurkan bantuan kewangan.
Pelbagai pihak tidak ketinggalan bertanya khabar, memberikan sumbangan, malah ada wakil rakyat yang turun sendiri bagi memastikan keadaannya.
"Masa kejadian itu memanglah saya dalam keadaan marah, tapi apabila pulang ke rumah hati saya dah tenang.
"Saya pun tak sangka ada orang rekod kejadian berlaku dan tularkan. Jadi saya berharap orang ramai bertenang kerana kes telah pun selesai dan saya pun telah terima apa berlaku," katanya.
Namun, satu perkara yang tetap tidak berubah, semangatnya yang kuat dan hatinya yang besar.