BUKAN menggunakan pistol atau senjata tajam untuk melarikan barang curi, tetapi empat suspek licik menggunakan dua ekor ular sawa semata-mata untuk menakutkan mangsa!
Kejadian mencemaskan itu berlaku di sebuah stesen minyak di Madison County, Tennessee, Amerika Syarikat baru-baru ini menyebabkan ramai terkejut dan geli-geleman.
Laporan Sky News menyebut bahawa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan taktik berani mati yang digunakan oleh suspek yang masih remaja.


Dalam video tersebut, seorang juruwang sedang berbual dengan dua suspek, iaitu seorang lelaki dan seorang wanita sebelum mencuri pati minyak CBD.
Kedua-dua mereka dilihat mendekati kaunter stesen minyak sambil memegang dan mengusap ular sawa tanpa rasa takut.
Bagi mengalihkan perhatian juruwang, suspek lelaki bertindak meletakkan seekor ular sawa di atas kaunter.
Sementara itu, seorang lagi suspek sibuk berbual dengan individu lain yang berada di luar jangkauan kamera.
Tidak cukup dengan itu, lelaki tersebut semakin berani dengan menggantungkan seekor lagi ular ball python di atas kaunter sebelum rakaman video terhenti.
Video rompakan tersebut telah dikongsikan oleh organisasi bukan kerajaan, 731 Crime Stoppers bagi membantu pihak polis mengesan suspek yang terlibat.
Setakat ini, pihak berkuasa sedang memburu keempat-empat suspek, yang terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan.
Mereka dikatakan melarikan diri menggunakan sebuah kereta sedan empat pintu berwarna hitam.
Kereta itu dipercayai mudah dikenal pasti kerana butnya diikat dengan tali bungee dan terdapat tulisan #moron.
Untuk makluman, pati minyak CBD merupakan bahan aktif dalam ganja yang sering digunakan bagi merawat masalah kesihatan seperti kemurungan dan kecemasan.
Suspek berjaya membawa lari hasil curian bernilai kira-kira RM1,767.
Dalam pada itu, ular yang digunakan dalam jenayah tersebut merupakan spesies ball python, sejenis reptilia liar yang berasal dari Afrika.
Walaupun tidak berbisa, haiwan ini boleh membesar sehingga mencapai panjang maksimum sekitar 1.8 meter.
Pihak polis masih meneruskan usaha memburu suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.