SIAPA sangka, perjalanan seni seorang pengacara dan pelawak popular, Nabil Ahmad, yang selama ini penuh warna-warni, tiba-tiba diuji dengan dugaan berat yang tidak diduga, mengubah segala-galanya dalam sekelip mata.
Nabil, atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya apabila menerima surat ‘direhatkan sementara’ daripada posisi sebagai penyampai segmen 3 Pagi Era.
Tindakan itu dikenakan susulan kontroversi yang mengaitkan dirinya bersama dua rakan penyampai lain, sekali gus memberi tamparan hebat dalam kerjayanya.
Dalam podcast AiditMyWay bersama Aidid Marcello yang dimuat naik di TikTok semalam, Nabil mengakui hatinya luluh menerima perkhabaran duka itu.
Lebih memilukan, keputusan tersebut datang pada saat dirinya sedang giat membina kerjaya, menjadikannya satu ujian yang sukar untuk diterima.
"Saya menangis apabila dapat surat ‘direhatkan sementara’ selepas kami bertiga keluar dari Bukit Aman.
"Saya baca surat itu dan menangis di Masjid Bandar Utama berdekatan dengan rumah saya. Saya cakap, ‘sudah habis ke kerjaya? Saya dah kena mula jual kopi ke ni?’” katanya.
Menurut Nabil, yang juga suami kepada Nazirah Ayub, tindakan sedemikian adalah kali pertama berlaku sepanjang lebih 15 tahun dirinya berkecimpung dalam industri hiburan.
"Saya tak pernah tidak bekerja, kalau cuti pun sebab pergi umrah atau bercuti. Tapi kali ini, saya memang sedang bekerja dan perlukan kerja itu. Anak-anak sedang membesar, bila dapat surat macam itu, mental saya jatuh. Rasa macam tak percaya," luahnya.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu meluahkan bahawa keputusan tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada dirinya, malah turut menjejaskan perancangan hidup yang telah disusun rapi demi masa depan anak-anaknya.
"Segala perancangan untuk anak-anak, pendidikan mereka, semuanya bergantung kepada kerjaya saya. Bila tiba-tiba terhenti, saya rasa kosong. Tiada pelan sokongan,” kongsinya.
Namun, dalam satu laporan media tempatan, Nabil menyifatkan tempoh ‘direhatkan’ itu sebagai satu ‘percutian yang menginsafkan’.
Bagi bintang Lu Pikirlah Sendiri de Movie itu, ujian tersebut bukan sekadar dugaan, tetapi peluang untuk lebih mendekatkan diri dengan masjid serta meraih kekuatan daripada keluarga dan sahabat handai yang sentiasa memberi sokongan.
"Awal-awal trauma sikit tapi lama-lama, kita nampak ada kebaikan. Saya, Radin dan Azad banyak berbual dan saling memberi semangat. Isteri dan anak-anak pun jadi sumber ketenangan saya.
"Saya belajar dari perkara yang dulu tak tahu. Sekarang saya sedar, dan lebih berhati-hati. Macam mana kita tak mahu agama kita dipersenda, begitu juga agama orang lain," ujarnya.
Dalam pada itu, Nabil turut meluahkan hasrat untuk menceburi bidang perniagaan sebagai langkah baharu dalam meneruskan kelangsungan hidup.