KEDATANGAN Aidilfitri dalam beberapa hari lagi pastinya membuatkan ramai orang berpusu-pusu untuk melakukan persiapan terakhir.
Gaji dan bonus yang baru diterima memberi peluang kepada mereka untuk berbelanja bagi keperluan isteri dan anak-anak sempena sambutan raya.
Namun, di sebalik kemeriahan membeli-belah, masih ada golongan yang kurang bernasib baik.
Melalui perkongsian selebriti tanah air, Anzalna Nasir, di akaun Instagram miliknya, terpancar kasih sayang seorang ibu apabila bertemu dengan anak-anak yang memerlukan.
"Semasa sesi meet and greet di Jakel, Anzalna bertemu dengan sekumpulan anak-anak yang pada mulanya disangka anak yatim tetapi rupa-rupanya mereka adalah orang kurang upaya pekak dan bisu.
"Allahuakbar, tersentuh hati. Paling seronok bila melihat semua anak-anak gembira kerana mendapat baju raya,” ujar Anzalna dalam hantarannya semalam.
Dalam situasi itu, ibu kepada dua orang anak tersebut kelihatan teruja bertemu dengan mereka dan berbual mesra dengan menggunakan bahasa isyarat.
Pelukan manja anak-anak tersebut dengan Anzalna mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen yang meninggalkan komen pada video berkenaan.
Anzalna memang terkenal dengan keprihatinannya terhadap golongan yang memerlukan.
Pada tahun 2021 dan 2023, isteri kepada Hanif Zaki ini menyambut ulang tahun kelahiran Mohamad Eidress dan Emirhan di rumah anak-anak yatim.
Bukan itu sahaja, beliau juga pernah menjual pakaian terpakai anak-anaknya dengan harga yang murah dengan niat untuk berkongsi rezeki, di mana hasil jualan itu disalurkan kepada golongan yang kurang bernasib baik.
Sikap rendah diri yang dimilikinya membuatkan netizen berasa bangga dengan keperibadiannya.
Walaupun berasal daripada keluarga yang senang, namun Anzalna sekeluarga tidak kekok untuk melayan anak-anak yatim dan golongan yang kurang bernasib baik.